Tuesday 21 May 2013



Mungkin bunyi ayat berikut ini agak klise tetapi itulah kenyataannya. Ayat yang disokong dengan rantaian pencapaian peribadi dan deretan kejuaraan yang berjaya dirangkul sepanjang beliau menghambakan diri dalam dunia bolasepak dan menyerahkan jiwanya pada Liverpool FC (LFC).

Ayatnya berbunyi begini; Pada hemat peribadi saya, tiada pemain yang pernah mewakili LFC dan sepanjang tempoh khidmatnya berjaya menghayati budaya, jiwa, amalan, keghairahan serta roh Liverpool FC selain dari James Lee Duncan Carragher.

Saya pasti ada dikalangan anda yang tidak setuju dengan pendapat saya tentang Carra tetapi itu adalah pendapat peribadi saya sendiri. Saya mula menyokong LFC sejak 1977 dan rasanya saya mempunyai asas yang cukup dan ruang waktu yang logik untuk membuat nilai perbandingan sebelum saya memberikan kenyataan tersebut.

Saya tidak berhasrat untuk menulis lebih terperinci tentang sejarah dan informasi Carra yang mana anda semua boleh dapati info tersebut di internet. Sejarah karier, mula bermain, jumlah gol dan sebagainya. Bukan tidak menghormati Carra tetapi saya sangat yakin sejak Carra mengumumkan hasrat beliau untuk bersara, jumlah carian di internet terutama Wikipedia mampu mencecah jutaan pelawat. Tidak kira samada dari kalangan penyokong dari era 70an seperti saya mahupun dari golongan yang baru mengenali Carra. Secara ringkasnya; Carra telah melibatkan diri dengan LFC sejak beliau berumur 9 tahun dan mengakhiri karier bolasepaknya pada 2013. Sepanjang tempoh tersebut, Carra telah membuat penampilan sebanyak 737 kali. Dalam tempoh itu juga, Carra berjaya membantu LFC merangkul 2 FA Cups, 2 League Cups, 2 Community Shields, 2 UEFA Super Cups, 1 UEFA Cup dan siapa yang mampu melupakan keajaiban bulan Mei 2005 dimana Carra melawan kesakitan, kekejangan dan menafikan keletihan semasa memenangi UEFA Champions League di Istanbul.

Saya sekadar ingin berkongsi apa yang saya fikirkan tentang Carra. Seorang pemain yang telah menyerahkan jiwa dan raganya pada kelab yang memberinya ilmu tentang bolasepak semasa beliau masih berusia 9 tahun. Seorang pemain yang asalnya seorang penyokong pasukan musuh ketat iaitu Everton tetapi akhirnya menjadi Lagenda dikalangan penyokong Liverpool FC. Seorang pemain yang membuktikan bahawa nilai kesetiaan pada Kelab masih wujud dalam dunia bolasepak moden. Seorang pemain yang menerima hakikat bahawa masanya telah tiba untuk memberi ruang pada generasi muda untuk mengisi tempatnya.

Pada Februari 2013, penyokong LFC telah menerima perkhabaran yang sememangnya sudah diduga. Seikhlasnya, saya sendiri merasakan Carra akan bersara pada musim 2011/2012. Saya merasakan demikian kerana Carra kelihatan semakin perlahan dalam permainannya sepanjang musim 2010/2011. Mungkin kehendak permainan bolasepak moden yang memerlukan pemain pertahanan lebih pantas dan agresif menjadikan saya sendiri bersetuju jika Carra bersara ketika itu. Namun sangkaan saya meleset. Carra masih dalam pasukan pada musim seterusnya. Sungguhpun begitu, apa yang saya rasakan tentang Carra tampak dikongsi oleh pengurus LFC ketika itu iaitu Kenny Dalglish. Carra sering diletakkan dibangku simpanan dan King Kenny merasakan gandingan Skrtel dan Agger lebih dinamik dan sesuai. Setelah King Kenny tiada, kedudukan Carra masih tidak selamat. Carra lebih banyak menjadi simpanan ketika mula Brendan Rodgers menjadi pengurus dan gandingan Agger/Skrtel masih dijadikan pilihan utama. Carra membuktikan pada kita betapa dia percaya dengan konsep hukum alam. Carra pernah ditanya tentang kedudukannya yang terpaksa memanaskan bangku simpanan. Carra menjawap beliau memahami dengan apa yang berlaku kerana pada suatu ketika dulu dia juga “mencuri” tempat seseorang semasa dia mula diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama sekitar 1990an. Dengan tenang beliau mengatakan tidak ada apa yang perlu dijadikan isu kerana ini yang dikatakan hukum alam.

Kesabaran Carra membuahkan hasil. Skrtel mengalami penurunan dalam persembahannya dan sekaligus memberi peluang pada Carra untuk kembali menghiasi kesebelasan utama. Tempoh rehat yang Carra terima sepanjang gandingan Agger/Skrtel seolah-olah memberi tenaga baru pada Carra. Permainannya lebih kemas, agakkannya lebih tepat, pintasannya lebih bersih dan yang menghairankan beliau lebih nampak bertenaga. Setelah mendapat keyakinan bahawa tahap persembahannya akan kekal sehingga ke hujung musim; ketika itulah Carra mengambil keputusan membuat kenyataan rasmi;
“I’m making this announcement now because I don’t want the manager or the club to be answering questions on my future when I’ve already decided what I am going to do. I will be fully committed between now and the end of the season to doing the very best for Liverpool Football Club, as I’ve done my entire career since joining aged just nine years old. I won’t be making any further comment on this decision until the end of the season. All our focus and concentration should be on achieving the best possible finish in the league this season and trying to win the last remaining trophy we are competing in…”
Apakah rahsia kejayaan Carra bertahan sebegitu lama? Pada pendapat saya juga; setelah mengharungi dunia bolasepak dibawah beberapa pengurus, Carra masih melihat bolasepak sebagai hobi yang paling berharga dalam hidupnya. Atas sebab itulah beliau tidak merasakan tekanan dalam menjalani karier sebagai pemain bolasepak professional. Ditambah pula dengan kekuatan mentalnya dalam memperagakan bakat seorang pemain pertahanan yang tidak mampu diterjemahkan dalam bentuk ilmiah. Semangat mempertahankan benteng pasukan yang menolak rasa penat dan kesakitan. Ini yang menjadikan Carra salah seorang pemain pertahanan yang tersohor di bumi England.

Ramai penyokong yang berpendapat bahawa Carra masih mampu bertahan semusim lagi. Setidaknya memberi peluang untuk beliau memenangi Liga Perdana. Saya juga inginkan beliau membawa pulang medal Liga Perdana. Carra lebih dari layak untuk memenanginya tetapi saya mohon maaf pada penyokong yang mahukan Carra terus bermain setidaknya semusim lagi kerana saya juga berpendapat masanya telah tiba untuk Carra mengundurkan diri.

Pertama; kehendak dunia bolasepak moden tidak memberi ruang yang selesa pada Carra. Bolasepak moden memerlukan pemain pertahanan yang cukup pantas, stamina dan kekuatan fizikal. 3 perkara asas ini dilihat semakin meninggalkan Carra. Adjustment Carra masih lagi baik tetapi ini tidak mencukupi dalam mengekang asakan penyerang pasukan lawan yang dilihat semakin tahun semakin membariskan penyerang yang muda, pantas, tajam dan kreatif.

Kedua; taktikal bolasepak moden yang memer lukan posisi Carra bertindak lebih dari kemampuannya. Bolasepak zaman sekarang sudah semakin melupakan watak last-man. Malah, watak ini sudah dikira tidak relevan. Watak full-back mengerah pertahanan untuk berada lebih jauh di tengah padang dan malah ada pasukan yang menjadikan full back sebagai back-up midfielder. Situasi ini bergantung pada aliran bola dimana bagi memastikan bola terus dalam penguasaan, full-back diminta mara ke depan dan defensive midfield akan mengambil alih tempat mereka. Ini yang kita lihat Agger sering ke depan jika beliau rasakan ada ruang untuk berbuat demikian. Carra dilihat tidak lagi mampu untuk membawa tugas ini. Adalah lebih baik jika tempatnya diberi pada pemain yang lebih layak dan sekaligus dapat membantu pasukan.


Ketiga; corak permainan yang menjadi amalan Carra. Bagi yang mengikuti cara permainan Sami Hyypia tentu faham apa yang cuba saya sampaikan. Carra lebih gemar “bertahan secara menyerang” berbanding Hyypia yang mengamalkan “bertahan dengan kekuatan”. Sukar untuk saya terangkan secara terperinci tetapi dalam ayat yang mudah Carra lebih gemar mengambil bola di kaki pihak lawan dengan pergi kea rah lawan dan Hyypia pula lebih tenang menunggu dan menggunakan kekuatan dengan memintas atau memotong pihak lawan di ketika sesuai. Kedua-dua cara mempunyai kelebihan tersendiri tetapi cara Carra lebih ofensif. Di kala umur dan kudrat yang semakin terhad, corak permainan sebegini akan lebih terdedah pada risiko. Tentu anda ingat kejadian nbdi peringkat kalah mati Europa League dimana pertaruhan Carra mengekang asakan Hulk dari Zenit St. Petersburg yang menyaksikan Carra melakukan kesilapan semasa membuat hantaran belakang pada Pepe Reina dan akhirnya Hulk berjaya menjaringkan gol. Inilah bezanya corak yang diamalkan atau yang menjadi kegemaran oleh pemain-pemain pertahanan.

Keempat; momentum kecemerlangan yang dinikmati oleh Carra saat ini. Saya sedia “melepaskan” Carra saat ini kerana setidaknya Carra akan mengakhiri kariernya dari senarai kesebelasan utama. LFC tentunya tidak dapat beri jaminan bahawa Carra akan terus berada didalam pilihan utama untuk musim depan. Setidaknya Carra boleh berbangga beliau masih menjadi pilihan utama ketika dihujung karier. Lihat apa yang berlaku pada Owen di Stoke City yang terpaksa dimasukkan ketika perlawanan berbaki 10 minit bagi memberi peluang terakhir baginya menikmati saat terakhir sebagai pemain bolasepak. Begitu juga Raul dahulu yang mengakhiri karier dari bangku simpanan. Maka, saya rasakan ini adalah saat yang paling manis untuk Carra mengundurkan diri.

Setelah meninggalkan LFC, kini timbul pula beberapa kata sinis dari penyokong pasukan lain yang mengatakan Carra tidak meninggalkan LFC kerana sebenarnya tiada pasukan lain yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau. Malang sungguh dunia bolasepak dicemari dengan penyokong yang berakal singkat dan dangkal sebegini. Carra akui dalam temuramahnya dimana sejak 16 tahun lepas, TIADA satupun pelawaan atau tawaran yang datang untuk membawa beliau keluar dari Anfield. Ini membuktikan Carra telah berjaya dalam karier beliau. Berjaya dari segi membuktikan pada dunia bahawa jiwa dan raganya adalah milik LFC selamanya. Apa yang telah ditunjukkan oleh Carra telah berjaya dilihat oleh pengurus pasukan lain. Carra telah menyampaikan isyarat yang jelas; dari cara permainannya, dedikasinya, fokusnya, impiannya dan segalanya adalah untuk LFC. Pengurus pasukan lain tidak perlu mencuba untuk bertanya kerana mereka yakin akan mendapat respon yang sama iaitu TIDAK. Carra pernah menjawap soalan pemberita suatu ketika dulu apabila bertanyakan samada beliau mempunyai minat untuk menyarung pasukan besar yang lain di England. Jawapan sinis yang diberikan oleh Carra berbunyi; ada lagikah pasukan yang lebih besar dari LFC? Dari jawapan sebegini telah menghantar gelombang pada pengurus lain supaya tidak perlu menawarkan apa-apa pada beliau kerana rasa sayang dan setianya yang tidak bersempadan pada LFC.


Kita semua mengingati Carra dengan memori yang tersendiri. Ada yang mengingati beliau kerana kesetiannya dan ada juga yang berseloroh mengingati Carra dengan rekod jaringan sendirinya. Bagi diri saya, saya akan terus mengingati Carra kerana semangat melawan dan komitmennya. Yang akan kekal dalam ingatan saya adalah malam perlawanan akhir UEFA Champions League di Istanbul. Carra menterjemahkan pada dunia apa sebenarnya erti komitmen dan semangat melawan. Dunia menyaksikan Carra bukan setakat melawan pasukan AC Milan tetapi dia bertarung dengan kepenatan dan kesakitan. Dalam keadaan LFC sudah tidak boleh membuat pertukaran pemain, Carra terus berjuang walaupun diserang kekejangan otot dan keletihan yang nyata. Menghumban badannya didepan pemain lawan asalkan dapat menghalang bola menerjah jaring. Pengorbanannya tidak mampu ditulis atau digambarkan. Semangatnya untuk menang dibuktikan lagi apabila mengasak Jerzy Dudek dengan memberi petua “spaghetti legs” ketika Dudek sedang menyiapkan dirinya menghadapi sepakan penalti. Saya tidak mampu menelah pemikiran sesiapa tetapi saya yakin anda setuju apabila kamera menunjukkan Carra berlari selepas sepakan Shevchenko berjaya diselamatkan Dudek; beliau adalah manusia paling gembira di atas muka bumi ketika itu dan saya rasa beliau sememangnya layak merasakan demikian setelah apa yang beliau harungi sepanjang 120 minit di Istanbul.

Tiada ayat yang tepat untuk dituliskan atau disampaikan pada Carra. Mewakili seluruh penyokong LFC dan mungkin golongan yang percaya dengan amalan dan budaya bolasepak; Terima Kasih yang tidak terhingga pada Carragher dan tidak ada sesiapa yang akan mampu mengganti tempat beliau kerana Carragher terlalu istimewa di hati kami. Semoga Carra berjaya dalam apa jua bidang yang bakal beliau ceburi...
23 Carra Gold!!

Terima Kasih


Shankly List (Apai)

3 comments: