Monday 1 July 2013

Sejarah Penubuhan All Reds Malaysia


Tanpa disedari, pada 14hb Julai 2013 ini usia All Reds Malaysia bakal mencecah satu tahun. Berikut adalah kisah kami..

5 orang. Kahar bin Nadar, Shafie bin Mohd Doon, Adnan Jamaludin, Roslan Ngah dan saya sendiri. Itulah jumlah asal. Berjumpa secara tidak sengaja dan dengan berbekalkan minat dan keghairahan yang sama; tidak siapa yang menyangka ianya tiba hingga di kedudukan sekarang.


Pada 2004, saya masih melakukan 2 kerja sehari iaitu bekerja sebagai juruteknik di waktu siang dan memandu teksi di bandar Johor Bahru di waktu malam bagi menyara keluarga dimana ketika itu saya sudahpun mempunyai 3 orang anak. Saya mengambil panggilan dan setibanya di lokasi yang dinyatakan seorang penumpang naik dan minta menghantar beliau ke Lapangan Terbang Senai. Sebaik penumpang itu duduk, beliau mula ternampak perhiasan barangan Liverpool di atas “dashboard” teksi saya iaitu figura Michael Owen, scarf, mini plaque dan beberapa barangan perhiasan kecil dan seperti sudah ditentukan pertemuan tersebut; rupanya anak-anak kami belajar di sekolah dan berada dalam kelas yang sama. Itulah titik pertemuan dengan Kahar bin Nadar.


Sejak dari pertemuan itu, kami merancang untuk menonton bersama setiapkali perlawanan LFC. Secara kebetulan, Kahar mempunyai seorang abang ipar iaitu Shafei Mohd Doon dan juga rakan sepasukan bolanya iaitu Adnan Jamaludin yang juga penyokong LFC. Begitu juga dengan abang ipar Shafie iaitu Roslan Ngah. Kami sungguh beruntung kerana usaha kami disokong penuh oleh isteri dan anak-anak. Kami mengamalkan konsep bergilir dalam menjadi “tuanrumah” dengan membawa makanan masing-masing untuk dinikmati bersama.



Selepas LFC memenangi UEFA Champuon League (UCL) pada 2005, kami ditemukan dengan ahli baru iaitu Sheikh Adzha dan Farid Rafiq. Selepas itu barulah kami bertemu dengan Muzili Aznor Musa, Abdul Latif Jaafar dan Fairul Razif. Kami menamakan kumpulan kami ini Shankly List. Walaupun kumpulan kami ini bukan kelab berdaftar atau kelab rasmi, kami bergerak aktif sesama kami dengan mengadakan Hari Keluarga, aktiviti sukan, majlis berbuka puasa dan yang penting kami sentiasa memastikan ikatan kekeluargaan kami sentiasa kuat. Kumpulan kami terus aktif dan jumlah ahli semakin bertambah. 

Pada 2007, kami didekati oleh kelab penyokong rasmi di Malaysia yang selama ini sangat aktif di ibunegara kerana mereka berhasrat untuk bergerak aktif di kawasan selatan. Saya dijemput bertemu dengan pemilik kelab rasmi tersebut di Millenium Soccer, Skudai. Sebagai individu yang dipilih oleh kumpulan kecil ini sebagai ketua; saya terima pelawaan ini dengan hati terbuka. Saya berjaya membawa keseluruhan ahli (malah dengan anak dan isteri) di dalam Shankly List untuk berdaftar bersama kelab rasmi tersebut. Kami berpendapat inilah platform yang tepat untuk kami bergerak secara lebih formal. Malangnya, sangkaan kami meleset. Sebagai ketua kumpulan, saya diasak oleh ahli Shankly List dengan soalan yang saya fikir memang ada kebenarannya. Aktiviti, program dan kewujudan kami di selatan tanahair dilihat seperti tidak diendahkan. Fokus mereka lebih tertumpu di ibunegara. Malah, banyak keputusan dan program yang dianjurkan oleh pihak pengendali kelab rasmi ini dilihat tidak bersesuaian dengan konsep asal kumpulan kami. Kekecewaan semakin menebal dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk berundur dan menamatkan kerjasama dengan pihak mereka.



Selepas perpisahan itu, kami teruskan budaya kelab kecil kami seperti biasa. Kami tidak merasa sebarang tekanan malah kami rasa lebih selesa. Semakin ramai yang mengenali kumpulan kecil kami termasuklah di luar Johor dan malah di Singapura dan Indonesia. Dalam tahun ini jugalah kami mula kenal kumpulan yang berkonsepkan sama dengan kami dari seberang tambak iaitu East of Anfield (EOA). Kami selesa dengan hubungan kami bersama EOA kerana mereka memahami konsep kami. Kemudian kami bertemu dengan kumpulan MyRAWK dari Kuala Lumpur semasa kami ke Genting Highland berjumpa dengan Ian Rush. Mereka ini juga serpihan dari kelab rasmi penyokong LFC yang mengalami nasib yang sama seperti kumpulan kami. Begitu juga kami pernah dihubungi oleh kelab penyokong dari Indonesia yang mengatakan rasa kagum mereka bagaimana kami mampu bergerak aktif walaupun tanpa status Official dari Anfield. 


Masa terus berlalu dan pada tahun 2010, saya diberitahu oleh salah seorang ahli kami iaitu Razif Mustaffa bahawa ada seorang individu yang berhajat untuk bertemu dengan saya dalam membincangkan isu kelab penyokong LFC di Malaysia. Pasa mulanya saya tidak berapa mengambil perhatian atas pelawaan ini kerana pada saat ini pembantu saya iaitu Kahar Nadar sedang sakit yang agak teruk. Sepanjang penubuhan kelab kecil kami ini, saya akan meminta pendapat dan nasihat dari beliau atau Shafie dalam segala hal. Dengan keadaan kesihatan Kahar yang agak meruncing, saya berpendapat adalah lebih elok ditangguhkan pertemuan tersebut. Namun, individu tersebut terus menghubungi saya dan akhirnya setelah mendapat restu dari yang lain, saya setuju untuk duduk berbincang. 

Tanggal 28hb September 2010, saya bertemu dengan individu tersebut. Beliau memperkenalkan nama beliau sebagai Hafiz Mahmuddin. Beliau mendengar tentang kewujudan kelab kecil kami dari saudara Halim Hassan yang mengendalikan Millenium Soccer. Beliau menyampaikan hasrat untuk menubuhkan satu kelab penyokong baru yang dikenali sebagai Liverbird Malaysia (Liverbird). Kelab ini akan bersifat lebih universal dan akan merangkumi seluruh negara. Beliau maklum apa yang telah kami alami dalam usahasama dengan kelab rasmi yang lama dan beliau memerlukan sentuhan saya dalam menjayakan projek ini terutama di selatan tanahair. Saya diberitahu bahawa usaha telah dijalankan dalam menjayakan projek ini termasuk penubuhan cawangan di Utara dan Pantai Timur. Apa yang kelab baru ini perlukan adalah “key-player” dari setiap region dalam menjayakan projek ini.



Sejurus selepas pertemuan itu, saya memanggil beberapa ahli Shankly List yang selama ini membantu saya menggerakkan kelab. Selepas berbincang, kami akhirnya setuju untuk bekerjasama dengan pihak Liverbird. Sebaik saya memberikan jawapan pada Hafiz, Liverbird tidak membuang masa dan terus menetapkan tarikh perjumpaan di Johor Bahru. Kami menganjurkan majlis suaikenal tersebut di Taman Setia Tropika. Liverbird menghantar Setiausaha mereka ketika itu sebagai wakil iaitu Saudara Rashdan. Majlis ini berjalan selama 3 jam dan di sinilah saya mengenali Wan Zamaruddin Yusuf. Jawatankuasa penaja diwujudkan pada malam tersebut dan Saudara Shafie dipilih menjadi Ketua bagi Southern Region. 


Aktiviti dijalankan seperti biasa dan pada 24hb Oktober 2010, kami dilawati oleh wakil dari Utara iaitu Pervez Farok Yunus yang kebetulan datang ke Johor untuk menziarahi bapa mertuanya di Batu Pahat yang sedang sakit. Inilah pertemuan pertama kami dimana selama ini kami sekadar berbincang melalui telefon. Kami ambil kesempatan ini berbincang dan berkongsi pendapat tentang program Liverbird. Kami juga berjanji untuk menghantar wakil dalam program yang dianjurkan oleh Liverbird Central pada 20hb November 2010 iaitu pertemuan bersama setiap region, majlis pelancaran Liverbird, acara futsal serta live viewing perlawanan LFC menentang West Ham yang diadakan di Kota Damansara.

Kami di Southern mula mendapat keserasian dari usahasama ini dan kami mengambil keputusan untuk menganjurkan acara kami sendiri di Southern. Pada ketika ini saya sudahpun mengetuai Southern kerana Saudara Shafei terpaksa berundur atas alasan tugas rasmi dan kekangan waktu bekerja yang memerlukan beliau bertugas secara shift. Pada 27hb Disember 2010, kami menganjurkan majlis futsal di Millenium Soccer, BBQ dan live viewing di Clubhouse Southern yang bertempat di Kg Melayu Majidee. Kami turut menjemput rakan baik kami iaitu EOA dari Singapura. Program ini berjalan dengan baik dan lancar. Kelancaran ini menaikkan lagi semangat kami untuk terus bergerak aktif.


Dalam Mesyuarat Agung Liverbird yang pertama di Zara CafĂ©, Shah Alam; saya dipilih sebagai Timbalan Presiden bagi membantu Presiden iaitu Saudara Fariz Abu Bakar. Seperti yang dipersetujui; Presiden akan menumpukan bahagian korporat serta penajaan dan saya akan mengambil tugas mengendalikan program yang membabitkan ahli Liverbird amnya dan penyokong LFC khasnya. Saya juga mengemukakan pelan dasar kelab pada Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Tertinggi yang merangkumi pelan untuk 2 tahun pertama. Saya mencadangkan supaya Liverbird menggunakan tempoh tahun pertama untuk memperkenalkan dan menyampaikan kewujudan Liverbird pada penyokong LFC di Malaysia. Saya yang dipertanggungjawapkan mengetuai projek ini secara jujur mengakui bahawa Liverbird telah berjaya mencapai objektif tahun pertamanya. 


Sepanjang tahun pertama Liverbird bergerak setelah mendapat pengiktirafan Kementrian Belia dan Sukan; pelbagai program yang dianjurkan untuk ahli. Liverbird juga bertuah kerana pada awal penubuhan rasminya, LFC telah melakukan lawatan ke Malaysia. Liverbird mendapat tempias dari keseronokan penyokong menyambut kehadiran pasukan kesayangan mereka ke tanahair. Bukan itu sahaja, Liverbird dianugerahkan tenaga kerja yang sentiasa bersedia untuk menabur khidmat dan idea. Liverbird semakin mendapat tempat di hati penyokong LFC di Malaysia dan dengan sendirinya pelan dasar tahun pertama yang saya bentangkan telah tercapai. 



Liverbird memasuki tahun kedua dan Mesyuarat Agung diadakan di salah satu hotel di Shah Alam. Dalam ucapan saya semasa AGM tersebut, saya mengingatkan tentang pelan kedua yang sepatutnya Liverbird sasarkan iaitu melangkah setapak lagi dalam menjadikan Liverbird lebih diterima di peringkat antarabangsa. Saya sangat optimis dengan peluang Liverbird dalam mendapat pengiktirafan dari Anfield sebagai kelab penyokong rasmi (Official) di Malaysia.  Dalam mencapai impian itu, saya merangka strategi baru iaitu memperbanyakkan program yang melibatkan ahli dan mengemaskini operasi Liverbird. 

Namun, tidak semua yang kita hajatkan akan mencapai kejayaan. Liverbird kini dibanjiri dengan ahli-ahli yang jauh lebih berpengalaman dan mempunyai visi yang jauh lebih menarik dari saya. Saya melihat diri saya sendiri yang tidak lagi layak untuk menerajui Liverbird. Terlalu banyak konflik yang wujud dan saya berpendapat keinginan tinggi saya dalam mencapai sasaran tahun kedua adalah antara penyebabnya. Malah ada yang mengatakan konsep kekeluargaan yang cuba saya serapkan dalam Liverbird dilihat ketinggalan zaman. Larangan yang saya keluarkan supaya tidak membenarkan sebarang bentuk perniagaan dalam Liverbird juga tidak dipersetujui. Lebih mengejutkan, semangat bencikan Manchester United yang sememangnya wujud dalam diri saya sejak saya mengenali LFC 36 tahun dulu juga dipertikaikan. Maka, demi menyelamatkan Liverbird, saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri. Saya tidak berada di posisi yang membolehkan saya menilai apa yang telah saya lakukan pada Liverbird itu boleh dikira satu kejayaan atau tidak, Saya serahkan pada ahli yang pernah bernaung dibawah pimpinan saya untuk menilai. Jika saya dilihat gagal, saya mohon maaf atas kelemahan saya.


Keputusan ini disambut dengan pelbagai reaksi di Southern terutama di kalangan Committee yang selama ini bergerak rapat dengan saya. Pada 14hb Julai 2012, Saya memanggil satu mesyuarat tergempar bagi membincangkan masalah ini. Saya menyatakan alasan saya dalam mengambil langkah pengunduran ini dan saya minta Committee yang lain untuk terus menyambung perjuangan bersama Liverbird. Saya menamakan Wan Zamarudin sebagai pengganti saya sebagai Ketua Penyelaras di Southern dan saya juga mencadangkan nama beliau pada Presiden Liverbird untuk meletakkannya sebagai Timbalan Presiden yang baru kerana pada pendapat saya Wan adalah calon yang paling layak, dia juga antara ahli yang banyak saya kongsi pengalaman dan dia jugalah yang banyak membantu saya sepanjang saya mengetuai Liverbird Southern. Malangnya, Wan menolak cadangan tersebut dan minta isu ini diperbincangkan dengan lebih menyeluruh dan terperinci.


Dalam mesyuarat yang dijalankan di Clubhouse itu juga, saya menyatakan hasrat saya selepas tidak lagi bersama Liverbird untuk bergerak seperti dahulu iaitu dalam skala yang lebih kecil. Sebaik saya menyatakan hasrat tersebut; kesemua Committee yang ada mengambil keputusan untuk mengikut jejak saya. Mungkin ada suara yang mengatakan bahawa saya mempengaruhi keputusan mereka tetapi kesemua 19 Committee yang berada dalam mesyuarat tersebut masih ada dan sesiapa pun berjumpa atau bertanyakan pada mereka untuk mendapatkan pengesahan apa yang saya tuliskan di atas. Setelah berbincang lebih dua jam, kami mengambil keputusan untuk mewujudkan kumpulan baru yang diberi nama ALL REDS MALAYSIA (ARM). Kami berikrar untuk terus bergerak bersama kerana setelah melalui tempoh dalam Liverbird, hubungan kami terlalu rapat dan kami beroperasi seperti satu keluarga. Dengan persetujuan itu, maka 20 orang yang berada dalam mesyuarat tersebut berjanji untuk menaikkan nama ARM dan menjadikan ARM lebih global dan tersusun. 20 orang yang mengasaskan ARM  adalah:




01. Mohamed Muzafar Mustapha (Shankly List)
02. Wan Zamarudin Yusuf (WanZamarudin Lfc)
03. Razif Mustaffa
04. Razali Yusof (Atong)
05. Mohamed Fahmy Ariffin 
06. Fauzie Othman (Pojet Gti)
07. Syafiq Hasanudin (Syafiq D’ Acan)
08. Hazri Mahat (Hazri Aqulani)
09. Khairudin A Rahman (Khairudin Dine)
10. Wan Zulkarnain Abdullah (Pokwe Wan Zul)
11. Abdullah Rasul (Lahh Graxias)
12. Sheikh Adzha (Sheikh Shida) 
13. Nor Adzly Hasbullah (Adzly Suarez)
14. Roshaidi Daud (Abong Edi) 
15. Mokhtarudin Ahmad (Mockey)
16. Mohd. Hisham Jaah
17. Haslinda Hamsan 
18. Shahida Mohamed
19. Suzyliana Abu Ghani (SuzyNabila Abu Ghani)
20. Idzawati Iderus (Idza Atong)


Saya sekali lagi dipilih untuk mengetuai kumpulan ini. Saya sekadar mensasarkan menghidupkan semula aktiviti secara kecil-kecilan sambil melibatkan ahli dari Southern yang berminat untuk sertai kami. Tanpa disangka, setelah mendengar perletakan jawatan saya di Liverbird, hampir keseluruhan ahli di Southern menyokong usaha ARM. Namun dalam ucapan pembukaan semasa program pertama anjuran ARM iaitu Majlis Perjumpaan Aidilfitri di Kompleks Belia dan Sukan, saya mengambil kesempatan untuk menyampaikan pada ahli Southern secara terbuka untuk terus menyokong Liverbird dan malah minta mereka memperbaharui keahlian mereka. Saya menerangkan bahawa kewujudan ARM sekadar memberi pilihan pada ahli yang berada di Southern dan bukannya untuk bersaing.

Perkara pertama saya sasarkan adalah mempromosi ARM. Untuk ini; saya meminta jasabaik Saudara Hairulnizam (Ijam Hairi) untuk menyiapkan laman web rasmi ARM dalam masa 2 minggu. Satu tugas yang mencabar dan dilihat agak mustahil bagi Kelab yang baru ditubuhkan tetapi dengan bantuan Committee Media iaitu Syafiq Hasanudin dan usaha yang berterusan, mereka berjaya melakukannya.


Sebaik laman web sudah disiapkan, saya kini beralih ke sasaran kedua. Sasaran yang sama saya letakkan semasa saya di Liverbird iaitu mendapatkan status OFFICIAL dari Anfield. Saya masih menyimpan kepercayaan bahawa usaha ini boleh dilaksanakan. Ada yang mengatakan usaha ini tidak akan berjaya kerana usia ARM yang masih baru tetapi saya tetap yakin dengan berbekalkan tenaga kerja yang cekap dan sentiasa bersemangat; tiada apa yang mustahil. Saya mulakan usaha ini pada awal bulan Ogos 2012. Permohonan kami ditolak sebanyak 2 kali.


Sementara itu di Utara, saya menerima perkhabaran bahawa beberapa ahli Liverbird Northern yang diketuai oleh Farok juga telah mengambil langkah yang sama seperti ahli Liverbird Southern. Ahli di Utara mewujudkan Kelab pilihan baru bagi ahli di sana yang dinamakan REDS1892. Pada 19hb Januari 2013, saya dijemput untuk merasmikan majlis pelancaran REDS1892 di Sungai Petani. Farok menyatakan hasrat untuk bergabung di bawah ARM tetapi saya masih tidak bersedia kerana saya berpendapat ARM perlu mengukuhkan dan memantapkan operasi di Southern dahulu. Dengan berat hati saya terpaksa menolak permintaan rakan karib saya. 


 Manakala di Central, berita yang sama saya terima mengenai pengunduran ahli dari Liverbird. Kumpulan ahli ini pula mewujudkan Voice of Central Reds (VC Reds). Saya berpeluang untuk bertemu dengan kumpulan ini semasa saya berada di Kuala Lumpur untuk rakaman siaran Kaki Bola terbitan TV3. Namun, masih belum wujud usaha penggabungan kerana saya berpendapat ahli di Central lebih selesa bergerak secara berkecuali.


Berbalik pada usaha memohon status Official.  Saya masih tidak mahu berhenti dan saya membuat susulan dengan beberapa kertaskerja dan rayuan. Namun, permohonan kami ditolak lagi untuk kali ketiga. ARM masih tidak berputus asa dan kami teruskan lagi menjalankan rundingan dengan pihak Anfield. Akhirnya pada 26hb Februari 2013, kami menerima berita baik dari Anfield dimana ARM telahpun diterima sebagai Kelab Penyokong Rasmi LFC di Malaysia.

Berikutan dari berita baik ini, satu perjumpaan telah diadakan di antara 3 pihak iaitu REDS1892, VC Reds dan ARM di Damansara pada 8hb March 2013.  Dalam perbincangan tersebut, kami mencapai persetujuan untuk bergabung dan akan bergerak atas nama ARM. Setelah menjalankan mesyuarat di kalangan Koordinator setiap Region bertempat di Port Dickson pada 19hb May 2013; ARM kini telah bersedia membuka pendaftaran untuk ahli.  Terkini, ARM baru selesai mengadakan pertemuan dengan wakil dari Kuantan dalam usaha mewujudkan cawangan di Pantai Timur.

Saya percaya jika ARM dapat mengekalkan semangat dan konsep yang sedia ada, kita mampu untuk menjangkau kejayaan yang lebih baik dari sekarang. 


Begitulah sejarah penubuhan ARM dan saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih pada semua yang terlibat dalam kewujudan ARM ini. ARM tidak mungkin akan berada di posisi sekarang jika tidak ada kerjasama dari semua. Apa yang telah dicapai oleh ARM adalah hasil kerjasama dan kerja berpasukan. Kami akan mencuba sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik pada ahli dan dalam masa yang sama kami mohon ahli untuk turutserta dalam apa juga bentuk aktiviti dan program yang dianjurkan untuk ahli. Secara peribadi, sebagai Presiden ARM; saya akan pastikan pintu ARM dibuka pada mana-mana kumpulan yang bertemakan Liverpool untuk menjalankan kerjasama demi memastikan keghairahan menyokong LFC terus berada di tahap yang tinggi. Seperti yang selalu saya katakan pada semua; saya tidak pasti destinasi sebenar ARM tetapi yang pasti, kita bergerak ke hadapan dan kita bergerak bersama... 


#WeAllReds


Terima Kasih

Mohamed Muzafar (Shankly List)

2 comments:

  1. liverpool, we love you liverpool we do, wah rindumya masa berteriak kat jb masa lawan chelsea, ah love you liverpool

    ReplyDelete
  2. Syabas bro Apai...salute! seronok baca sejarah ARM :) YNWA!

    ReplyDelete