Tuesday 14 August 2012

Liverpool FC vs Bayer Leverkusen


Minggu yang sungguh memenatkan. Itulah yang mampu saya gambarkan sejak penubuhan All Reds Malaysia (ARM). Terpaksa pantau semua kerja yang diamanahkan pada Committee yang bertugas. Paling menagih masa dan tumpuan adalah projek website. Alhamdulillah, setelah hampir 2 minggu kerja berterusan.. akhirnya terlahir juga website ARM. Sekalung tahniah untuk yang terlibat dalam projek ini. Projek lain yang perlu dipantau adalah Stiker, Majlis Aidilfitri, Fantasy Football dan beberapa urusan lain. Syukurnya kerana dianugerahkan tenaga kerja yang sungguh efektif dan komited. Bercakap pasal minggu yang sibuk, Liverpool FC juga menempuh situasi yang sama. Selepas perlawanan kedua pusingan kelayakan Europa League, LFC menyambut lawatan Bayer Leverkusen di Anfield.


Tidak tahu nak menggambarkan perasaaan bila terlihat wajah Legend, Sami Hyypia di Anfield yang kali terakhir memijak rumput Anfield pada tahun 2009. Kalau kita yang hanya dapat lihat wajahnya di kaca TV pun dah meremang buluroma, bayangkan apa perasaan penyokong yang berada dalam Anfield. Terlalu besar jasa Hyypia untuk dibalas dengan standing ovation oleh 25,000 penyokong yang hadir pada perlawanan itu tetapi rasanya dia memahami apa yang ada dalam hati penyokong samada di Anfield mahupun di serata dunia yang menyaksikan perlawanan tersebut.

Berbalik pada persembahan Liverpool FC (LFC) pada perlawanan persahabatan ini, banyak yang boleh dibincangkan terutama taktikal yang dicatur oleh Brendan Rodgers (BR). Saya agak was-was untuk menulis bahawa BR telah berjaya dalam memperbaiki mutu permainan LFC. Bukan kerana tidak percaya dengan kebolehannya tetapi saya masih “memperuntukkan” pujian kepada BR apabila musim BPL bermula pada 18hb Ogos 2012 nanti. Namun dalam masa yang sama rasanya tidak adil pula jika saya tidak meluahkan kata-kata penghargaan untuk beliau kerana berpandukan dari beberapa perlawanan sejak kepulangan dari siri perlawanan persahabatan, mutu permainan LFC sememangnya jauh lebih baik. Saya tidak mahir dalam taktikal bolasepak tetapi saya gemar membuat kajian. BR yang begitu taksub dengan konsep 4-3-3 berusaha sedaya upaya untuk membuktikan bahawa konsep itu adalah yang paling sesuai untuk dipraktikkan oleh LFC musim ini. Kegigihan BR dalam melaksanakannya diterjemahkan oleh pemain muda yang kian meningkat naik iaitu Raheem Sterling. 


Saya tidak pasti samada Sterling memang pantas atau pertahanan Leverkusen memandang rendah pada remaja berumur 17 tahun ini tetapi itulah konsep 4-3-3 yang sebenarnya. Jika anda membaca artikel saya beberapa minggu lepas tentang 4-3-3; saya rasa anda faham apa yang hendak saya sampaikan. Sistem ini memerlukan penyerang yang mampu bergerak dari tepi dan mampu membawa bola seberapa hampir dengan kotak penalti dan menggunakan ruang yang ada untuk melakukan percubaan. Sterling hanya perlukan 3 minit untuk menterjemahkan konsep itu kepada jaringan. Berkesan tetapi perlukan kerativiti dan mampu ambil kesempatan sebaik mungkin kerana tidak mungkin pertahanan lawan akan terus menghidangkan peluang yang sama sepanjang perlawanan.



Sekali lagi midfield beraksi pada tahap cemerlang. Hantaran dibuat dalam segala bentuk kepelbagaian. Tidak terikat dengan wide game malah berkali midfield berjaya melakukan wall pass yang berkesan tetapi terjejas dengan perangkap offside. Itu tidak penting kerana dalam perlawanan persahabatan sebeginilah midfield perlu gunakan peluang untuk mencuba segala bentuk ujikaji bagi mendapatkan rentak yang bakal dibawa ke musim yang bermula tidak lama lagi. LFC berjaya mengekalkan corak passing dan pressing game dengan berkesan. Lucas sekali lagi menjadi nadi bahagian tengah dan begitu seronok dengan tugasnya yang bermain hanya beberapa ela dari barisan pertahanan. Saya tertarik dengan corak permainan Lucas yang rajin membuat pass and collect, bijak menyimpan bola pada kadar selamat dan mengumpan midfield lawan untuk melakukan attack. BR pasti mampu menarik nafas lega kerana Lucas berjaya menjalankan tugasnya dengan baik dan secara automatiknya melepaskan tali pada kaki Steven Gerrard untuk beraksi lebih jauh di dalam kawasan lawan.

Separuh masa kedua menyaksikan jentera tengah dikemudi oleh Spearing, Henderson dan Adam. Mungkin Lucas dan Gerrard telah melaksanakan tugas dengan terlalu baik dan kerana itu kita melihat midfield yang masuk menggantikan mereka tampak kurang berkesan. Namun, tempo permainan masih dikekalkan ditahap yang sama. Carroll yang dimasukkan pada babak kedua juga mampu menjalankan tugas dengan baik. BR dengan jelas menukar corak permainan apabila Carroll bermain. Lebih banyak hantaran silang dibuat berbanding babak pertama yang banyak menggunakan ground ball dan kebolehan menggelecek dari tengah padang. Setidaknya watak Carroll masih diperlukan oleh BR dan Carroll membuktikan kehadirannya masih diperlukan apabila dia berjaya menggunakan senjata yang paling ampuh pada dirinya iaitu kaki kiri yang cukup hebat untuk menjaringkan gol ketiga. 

"Rasanya masa bersara kau dah dekat la bro.."
Sedikit kerisauan terbit dari apa yang ditampilkan oleh Coates. Terperangkap beberapa kali dalam memotong bola dan kesilapan adjustment ketika memintas. Coates tampak gugup terutama bila berhadapan dengan situasi close game dan memilih untuk melakukan back pass pada waktu kurang selamat. Tetapi perlawanan ini juga mempamerkan betapa Carragher semakin hampir dengan persaraannya. Gol tunggal Leverkusen ternyata hadir berpunca dari “kelewatan” Carra menutup ruang dan gagal menghalang pemain yang baru dimasukkan iaitu Sidney Sam membuat turning. 


Secara keseluruhannya; LFC mempamerkan permainan yang baik dan penyokong perlu ada keyakinan dengan kemampuan BR. Walaupun tidak menyenaraikan Borini di barisan serangan, LFC masih mampu menang selesa dengan pasukan yang bukan calang-calang dalam Bundesliga. Ini adalah persiapan terakhir utk LFC sebelum menghadapi musim 2012/2013 yang akan bermula beberapa hari lagi. Rasanya BR sudah boleh merencana dan membayangkan skuad terbaik untuk membawa pulang 3 mata pertama dari lawatan ke West Brom Ahad ini. LFC perlu merampas sekurang-kurang 12 mata dari 5 perlawanan awal bagi menghidupkan peluangnya sebagai pencabar gelaran dan mencerahkan harapan untuk beraksi dalam UEFA Champion League.

Kita jumpa dalam perlawanan dengan West Brom nanti. Sehingga itu saya mewakili seluruh warga kerja ARM mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri pada semua ahli group ini yang beragama Islam dan merayu pada semua untuk lebih berhati-hati semasa pulang ke kampong nanti.


Shankly List (Apai)


Liverpool FC vs FC Gomel; Review


Kita lupakan siri perlawanan persahabatan pra musim yang berlangsung di USA. Kita lupakan corak permainan yang agak mengerikan sepanjang jelajah mereka itu. Kita cuba buka buku baru untuk perlawanan yang lebih kompetitif; bermula dari perlawanan pertama pusingan kelayakan Europa League.

Saya tak mampu untuk membuat sebarang ulasan kerana walaupun saya berpeluang menonton perlawanan tersebut menngunakan streaming tetapi saya rasakan kurang adil jika saya buat ulasan berpandukan dari pergerakan yang terhenti-henti (line slow) dan siaran yang sering terganggu dengan iklan yang pop-up secara tiba-tiba. Tentu ada yang bertanya.. “apa hal pulak brader ni boleh tunggu iklan kat streaming?”. Jangan bimbang, saya tak marah dengan pertanyaan tersebut sebab memang saya jenis rabun-rabun ayam IT. Mungkin tidak buta IT tapi agak rabun-rabun. Jadi, apa link yang disarankan oleh rakan.. saya kan ikut. Jika keluar iklan.. saya tunggu sampai habis sebab takut nanti tak dapat balik link tu. OK.. cukup ketawakan saya. Kita terus pergi ke perlawanan kedua pusingan kelayakan Europa League.

Saya yakin ramai yang tersenyum sebaik sahaja wisel penamat perlawanan tersebut ditiupkan. Secara keseluruhannya Liverpool FC (LFC) menunjukkan corak permainan yang sangat baik. Penguasaan bola yang ternyata lebih memberangsangkan berbanding perlawan pertama di Belarus. Begitu juga dengan hantaran yang jauh lebih sempurna, pressing game yang terbukti berkesan dan yang paling nyata bahagian tengah berfungsi seperti yang kita harapkan. Mungkin segalanya tampak baik kerana pihak lawan yang mungkin tidak sama standard dengan LFC tetapi rasanya ianya mampu menjadi garis panduan bagi Brendan Rodgers (BR) untuk memperbaiki mana yang patut.

Satu lagi perbezaan yang nyata pada perlawanan kedua ini adalah; kehadiran Luis Suarez. Saya tidak gemar menggunakan istilah ini dalam penulisan saya tetapi kali ini saya terpaksa akui bahawa Suarez membuktikan istilah “matchwinner” memang wujud dalam dunia bolasepak. Mengapa saya tidak anggap Messi sebagai matchwinner Barcelona? Bezanya, Messi dikelilingi oleh pemain midfield yang boleh dikategorikan sebagai yang terbaik di dunia. Tugasnya tidak seberat Suarez di LFC. Suarez perlu berada di hampir seluruh padang bagi mengumpan pemain pertahanan keluar dari benteng. Sehingga pada suatu ketika kita menganggap ada 3 Suarez dalam perlawanan tersebut. Watak Suarez ternyata memudahkan pemain tengah untuk menyalurkan bola kerana tekanan untuk midfield berjaya dikurangkan.

Kehadiran Fabio Borini pula menambahkan perisa pada barisan serangan. Saya kagum melihat Borini yang tidak canggung beraksi bersama Suarez dan berjaya menyerap tekanan bermain dihadapan The Kops di laman Anfield. Bukan mudah untuk seseorang pemain beraksi sebegitu pada aksi mereka yang pertama dan BR patut merasa gembira kerana Borini berjaya melepasi ujian pertamanya. Mungkin situasi inilah yang menghantui fikiran Carroll kerana masih gagal memenangi hati penyokong secara keseluruhannya walaupun sudah masuk musim ketiga. 

Selain Suarez, kita tidak patut melupakan watak Lucas. Kehadirannya secara tidak langsung membantu LFC mencatat keputusan yang baik ini. Dengan adanya Lucas kembali dalam pasukan, Gerrard kelihatan lebih bebas dalam melancarkan serangan. Tidak terikat untuk berada pada posisi yang static dan sekaligus membenarkan Gerrard menggunakan kepakarannya menghadikan tekanan yang berterusan kea rah pintu gol lawan. Lucas pula tampak tenang mengemudi barisan tengah dan begitu enjoy dengan peranan yang diamanahkan pada beliau. Apa yang sekarang menjadi perbincangan adalah; kelibat Jonjo, Spearing, Henderson, Adam dan yang terkini Joe Allen. Masing-masing menunggu giliran dan pada perlawanan kedua ini, Jonjo bertuah kerana disenaraikan. Secara dasarnya, Jonjo tidak mengecewakan tetapi sering kehilangan bola dalam keadaan tertekan serta terjahan merbahaya yang bakal mendatangakan risiko pada pasukan keseluruhannya.

Pertahanan pula semakin cemerlang. Gandingan Agger dan Skrtel sentiasa dinantikan oleh penyokong LFC setiapkali perlawanan. Mantap dan Meyakinkan. Itulah yang saya terfikir untuk memberi definisi mereka berdua. Walaupun digegarkan dengan berita perpindahan ke Manshitty, Agger kelihatan tidak terganggu dan menikmati perlawanan tersebut sepenuhnya. Apa yang merisaukan, Enrique masih lagi bermain seperti di perlawanan persahabatan pra musim. Menyimpan bola terlalu lama, shielding yang longgar dan gagal melepaskan bola pada ketika yang tepat. Enrique perlu segera bangun dan kembali mempertahankan kedudukannya dalam kesebelasan utama.

Percaturan BR nampak menjadi dan pemain LFC berjaya mewujudkan sistem permain dimana bola tidak berhenti bergerak. Pergerakan bola dalam permainan amat penting. Bola yang terhenti terlalu lama mampu menjejaskan kelancaran serangan dan memberi ruang pada pihak lawan untuk menyusun benteng dengan lebih teratur. Sistem inilah yang patut diamalkan kerana kaedah inilah yang membawa LFC ke puncak pada tahun 70an dan 80an. Perbezaannya adalah; dahulu system pass and move yang mana ianya memerlukan midfield bergerak seiring dengan penyerang. Namun, konsepnya tetap sama. Bola tidak seharusnya dibiar dalam keadaan statik terlalu lama.

Apa yang kita harapkan LFC mampu mengekalkan atau menambahbaik corak permainan mereka kerana jika kita melihat peningkatan pada pasukan LFC, kita tidak boleh menafikan bahawa pasukan lain juga sedang melakukan perkara yang sama. LFC perlu bersedia menghadapi kemungkinan ini.

Terima Kasih

Shankly List (Apai)

Friday 10 August 2012

Agger; Jual atau Simpan?





Ini adalah artikel saya yang pertama untuk ahli All Reds Malaysia (ARM). Seperti yg semua maklum, sebelum ini saya menulis untuk group Liverbird Malaysia dan memandangkan ini adalah kediaman saya yang baru, maka disinilah nampaknya saya akan menyumbang pendapat dan komentar peribadi saya. Sekali lagi saya ingatkan, apa yang saya tulis ini TIDAK mewakili pendirian ARM. Ini sekadar perkara yang saya fikirkan secara peribadi.

Untuk artikel sulung saya dalam ARM ini, saya memilih untuk menulis tentang Daniel Agger. Tentu semua faham kenapa saya memilih Agger. Berita bertiup dengan kencang mengatakan Agger diminati oleh pasukan orang kaya; Manshitty. Minat Mancini pada Agger tidak lagi rahsia dan keinginannya untuk membawa Agger ke Manshitty meluap-luap. Sekarang hanya isu penetapan harga yang patut ditawarkan pada Liverpool FC (LFC).


Sebelum kita pergi lebih jauh tentang isu Agger ini, saya perlu sentuh sedikit tentang pengurus baru kita iaitu Brendan Rodgers (BR). Tidak ramai yang tahu bahawa BR ada mengemukakan perancangan jangka panjang untuk LFC semasa perlantikan awal beliau sebagai pengurus LFC. Buku perancangan itu setebal 180 mukasurat dan antara perkara yang dibangkitkan oleh BR dalam perancangan beliau itu adalah wawasan yang beliau tetapkan untuk bawa LFC jauh dari kedudukan yang sekarang dan pelan “menjimatkan” perbelanjaan pemilik LFC dalam memiliki pemain yang boleh memberi impak pada pasukan. Saya tidak mempertikaikan pelan BR tetapi isu Agger ini menjurus pada salah satu pelan yang BR kemukakan pada pemilik LFC. 



Pelantikan BR memang bertepatan dengan konsep yang ingin diterapkan oleh pemilik LFC. Pembelian yang lebih berhemah dan tidak “memanaskan” saku pemilik. Apa yang dilakukan oleh BR semasa menguruskan Swansea menarik minat FSG dan idea pembelian berhemah ini dimulakan dengan pembelian Borrini dan diikuti dengan lamaran pada Joe Allen. Pemilik telahpun member isyarat pada BR bahawa BR perlu mengamalkan konsep “menjual untuk membeli”. Dengan isu Joe Allen yang masih belum dapat diselesaikan, Andy Carroll pula menolak dari menyertai West Ham; kini Manshitty seperti menghulur talian hayat pada BR untuk merealisasikan impiannya membawa Joe Allen ke Anfield. Inilah tiketnya, inilah peluang yang terbaik untuk BR mengisi tabung untuk membeli pemain.

Adakah BR pengurus yang kurang baik jika beliau melepaskan Agger pada Manshitty? Jawapannya sangat subjektif. Tidak ada jawapan yang tepat kerana apapun keputusan yang diambil oleh BR pasti mengundang pelbagai kontroversi.


Ini pendapat peribadi saya; sebagai pengurus, BR sudah tentu tidak mahu kehilangan salah seorang pemain utamanya yang baru-baru ini telah membuktikan bahawa khidmatnya masih diperlukan semasa beraksi di pentas Euro 2012 terutamanya semasa perlawanan dengan Portugal. Tetapi seorang pengurus yang bijak akan memikirkan soal nilai seorang yang boleh mencecah hingga £20juta di meja rundingan atau di bilik rawatan?

Adakah anda semua maklum bahawa dalam tempoh 6 musim Agger bersama LFC, beliau hanya dapat buat 2 kali penampilan kesebelasan utama lebih dari 23 perlawanan. Selebihnya, Agger banyak meluangkan masa di bilik rawatan kerana kecederaan yang berulang. Seperti yang saya katakan tadi, pasti ada penyokong yang akan melihat ayat saya ini seperti saya menyokong Agger dilepaskan. Tetapi, saya mohon penyokong yang berfikiran begitu memikirkan semula aspek yang LFC memerlukan pemain yang boleh beraksi lebih kerap. Mungkin inilah masanya Coates digunuakan dengan lebih kerap. Usianya juga muda dan masih bebas dari masalah kecedraan yang berulang.




LFC masih ada pelan B untuk masalah pertahanan. Coates, Kelly, Robinson, Flanagan, Wisdom dan beberapa pemain muda yang dilihat sudah bersedia mengisi kekosongan yang bakal dihadirkan jika Agger dijual. Penyokong perlu melihat aspek pemergian pemain seperti Kuyt, Maxi Rodriguez dan yang terbaru mungkin juga membabitkan Bellamy. Kekosongan ini perlu diisi dengan pemain yang mampu menghadirkan peluang pada barisan penyerang. Disinilah perlunya duit hasil jualan Agger digunakan. Pemain seperti Gauston Ramirez, Joe Allen dan jika perlu beberapa lagi nama besar yang boleh membawa sedikit gentar pada barisan pertahanan lawan. Ditambah pula dengan aksi hambar Spearing dan Adam sepanjang sessi perlawanan persahabatan pra musim.

Pada peringkat ini, BR perlu buat keputusan yang bijak. Beliau perlu mengimbangi keperluan kuantiti pemain di bahagian pertahanan atau kualiti untuk bahagian serangan. FSG mungkin melihat pelaburan yang dilakukan pada pemain seperti Downing, Henderson, Adam dan Carroll pada musim lepas tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Kesan pelaburan ini sedikit sebanyak member impak pada perancangan BR untuk musim yang akan datang ini. Atas sebab itulah, jika Agger berjaya dijual dan Joe Allen dibawa masuk, BR akan merasakan dia bermain dengan selamat kerana masih mampu menyumbang untuk menyelamatkan kantung pemilik.



Namun walau apapun keputusan yang akan diambil oleh BR, saya cuma berharap keputusan itu dibuat untuk kepentingan dan masadepan LFC dan bukannya sebagai langkah memenangi hati pemilik LFC. Keputusan BR untuk isu Agger ini akan mencerminkan pendekatan beliau pada pasukan amnya dan penyokong LFC khasnya.

Saya ambil kesempatan disini untuk mengucapkan Terima Kasih atas kesudian anda semua menyertai kami di All Reds Malaysia. Saya akan cuba untuk terus berkongsi penulisan saya di sini dan harapnya ianya mampu membantu impian saya dari dulu iaitu melahirkan penyokong yang berilmu..

SCAST & YNWA!!


Terima Kasih.


Shankly List (Apai)