Friday 10 August 2012

Agger; Jual atau Simpan?





Ini adalah artikel saya yang pertama untuk ahli All Reds Malaysia (ARM). Seperti yg semua maklum, sebelum ini saya menulis untuk group Liverbird Malaysia dan memandangkan ini adalah kediaman saya yang baru, maka disinilah nampaknya saya akan menyumbang pendapat dan komentar peribadi saya. Sekali lagi saya ingatkan, apa yang saya tulis ini TIDAK mewakili pendirian ARM. Ini sekadar perkara yang saya fikirkan secara peribadi.

Untuk artikel sulung saya dalam ARM ini, saya memilih untuk menulis tentang Daniel Agger. Tentu semua faham kenapa saya memilih Agger. Berita bertiup dengan kencang mengatakan Agger diminati oleh pasukan orang kaya; Manshitty. Minat Mancini pada Agger tidak lagi rahsia dan keinginannya untuk membawa Agger ke Manshitty meluap-luap. Sekarang hanya isu penetapan harga yang patut ditawarkan pada Liverpool FC (LFC).


Sebelum kita pergi lebih jauh tentang isu Agger ini, saya perlu sentuh sedikit tentang pengurus baru kita iaitu Brendan Rodgers (BR). Tidak ramai yang tahu bahawa BR ada mengemukakan perancangan jangka panjang untuk LFC semasa perlantikan awal beliau sebagai pengurus LFC. Buku perancangan itu setebal 180 mukasurat dan antara perkara yang dibangkitkan oleh BR dalam perancangan beliau itu adalah wawasan yang beliau tetapkan untuk bawa LFC jauh dari kedudukan yang sekarang dan pelan “menjimatkan” perbelanjaan pemilik LFC dalam memiliki pemain yang boleh memberi impak pada pasukan. Saya tidak mempertikaikan pelan BR tetapi isu Agger ini menjurus pada salah satu pelan yang BR kemukakan pada pemilik LFC. 



Pelantikan BR memang bertepatan dengan konsep yang ingin diterapkan oleh pemilik LFC. Pembelian yang lebih berhemah dan tidak “memanaskan” saku pemilik. Apa yang dilakukan oleh BR semasa menguruskan Swansea menarik minat FSG dan idea pembelian berhemah ini dimulakan dengan pembelian Borrini dan diikuti dengan lamaran pada Joe Allen. Pemilik telahpun member isyarat pada BR bahawa BR perlu mengamalkan konsep “menjual untuk membeli”. Dengan isu Joe Allen yang masih belum dapat diselesaikan, Andy Carroll pula menolak dari menyertai West Ham; kini Manshitty seperti menghulur talian hayat pada BR untuk merealisasikan impiannya membawa Joe Allen ke Anfield. Inilah tiketnya, inilah peluang yang terbaik untuk BR mengisi tabung untuk membeli pemain.

Adakah BR pengurus yang kurang baik jika beliau melepaskan Agger pada Manshitty? Jawapannya sangat subjektif. Tidak ada jawapan yang tepat kerana apapun keputusan yang diambil oleh BR pasti mengundang pelbagai kontroversi.


Ini pendapat peribadi saya; sebagai pengurus, BR sudah tentu tidak mahu kehilangan salah seorang pemain utamanya yang baru-baru ini telah membuktikan bahawa khidmatnya masih diperlukan semasa beraksi di pentas Euro 2012 terutamanya semasa perlawanan dengan Portugal. Tetapi seorang pengurus yang bijak akan memikirkan soal nilai seorang yang boleh mencecah hingga £20juta di meja rundingan atau di bilik rawatan?

Adakah anda semua maklum bahawa dalam tempoh 6 musim Agger bersama LFC, beliau hanya dapat buat 2 kali penampilan kesebelasan utama lebih dari 23 perlawanan. Selebihnya, Agger banyak meluangkan masa di bilik rawatan kerana kecederaan yang berulang. Seperti yang saya katakan tadi, pasti ada penyokong yang akan melihat ayat saya ini seperti saya menyokong Agger dilepaskan. Tetapi, saya mohon penyokong yang berfikiran begitu memikirkan semula aspek yang LFC memerlukan pemain yang boleh beraksi lebih kerap. Mungkin inilah masanya Coates digunuakan dengan lebih kerap. Usianya juga muda dan masih bebas dari masalah kecedraan yang berulang.




LFC masih ada pelan B untuk masalah pertahanan. Coates, Kelly, Robinson, Flanagan, Wisdom dan beberapa pemain muda yang dilihat sudah bersedia mengisi kekosongan yang bakal dihadirkan jika Agger dijual. Penyokong perlu melihat aspek pemergian pemain seperti Kuyt, Maxi Rodriguez dan yang terbaru mungkin juga membabitkan Bellamy. Kekosongan ini perlu diisi dengan pemain yang mampu menghadirkan peluang pada barisan penyerang. Disinilah perlunya duit hasil jualan Agger digunakan. Pemain seperti Gauston Ramirez, Joe Allen dan jika perlu beberapa lagi nama besar yang boleh membawa sedikit gentar pada barisan pertahanan lawan. Ditambah pula dengan aksi hambar Spearing dan Adam sepanjang sessi perlawanan persahabatan pra musim.

Pada peringkat ini, BR perlu buat keputusan yang bijak. Beliau perlu mengimbangi keperluan kuantiti pemain di bahagian pertahanan atau kualiti untuk bahagian serangan. FSG mungkin melihat pelaburan yang dilakukan pada pemain seperti Downing, Henderson, Adam dan Carroll pada musim lepas tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Kesan pelaburan ini sedikit sebanyak member impak pada perancangan BR untuk musim yang akan datang ini. Atas sebab itulah, jika Agger berjaya dijual dan Joe Allen dibawa masuk, BR akan merasakan dia bermain dengan selamat kerana masih mampu menyumbang untuk menyelamatkan kantung pemilik.



Namun walau apapun keputusan yang akan diambil oleh BR, saya cuma berharap keputusan itu dibuat untuk kepentingan dan masadepan LFC dan bukannya sebagai langkah memenangi hati pemilik LFC. Keputusan BR untuk isu Agger ini akan mencerminkan pendekatan beliau pada pasukan amnya dan penyokong LFC khasnya.

Saya ambil kesempatan disini untuk mengucapkan Terima Kasih atas kesudian anda semua menyertai kami di All Reds Malaysia. Saya akan cuba untuk terus berkongsi penulisan saya di sini dan harapnya ianya mampu membantu impian saya dari dulu iaitu melahirkan penyokong yang berilmu..

SCAST & YNWA!!


Terima Kasih.


Shankly List (Apai)

1 comment: