Monday 30 July 2012

Perlawanan Persahabatan vs Tottenham Hotspurs




Itulah lemahnya bila dah mula buat ulasan pada sesuatu perlawanan. Susah betul melawan nafsu untuk terus menulis dan mengulas perlawanan seterusnya. Sebab itulah saya tidak mengulas semasa perlawanan Liverpool FC (LFC) dengan Toronto FC. Tetapi gejolak nafsu menulis ni tak boleh dibendung selepas perlawanan dengan AS Roma dan akhirnya saya terus terjebak dalam menulis pandangan peribadi saya (yang tak semestinya betul) selepas menonton perlawanan persahabatan ketiga LFC dengan Tottenham Hotspurs (Spurs) pada awal pagi tadi.


Saya tidak pasti apa yang anda semua mahukan dalam perlawanan yang ini tetapi saya secara peribadi teringin sangat nak melepaskan rindu pada pemain kesayangan penyokong LFC iaitu Steven Gerrard dan ingin melihat gandingannya bersama pemain yang baru dibeli, Borinni. Tetapi sebelum saya menyentuh tentang SG8, saya akan mulakan pandangan peribadi saya dari sepak mula perlawanan tersebut. 


Seperti biasa, LFC memulakan perlawanan ini dengan campuraan pemain muda dan senior. Sebaik perlawanan bermula, Spurs dengan bingkas menghidu kelonggaran pertahanan LFC di bahagian tengah. Walaupun gagal menterjemahkan percubaan tersebut menjadi jaringan awal, Spurs memperlihatkan betapa rapuhnya benteng pertahanan LFC. 
Jika anda baca ulasan saya tentang Charlie Adam selepas perlawanan dengan Roma, tentu anda faham apa yang saya ingin sampaikan tentang beliau, Terbukti apa yang saya tuliskan berlaku dalam perlawanan dengan Spurs ini. Adam sekali lagi gagal mempertahankan persembahan baiknya pada perlawanan sebelumnya. Beraksi dengan baik semasa bertemu Roma dan grafnya menurun secara mendadak pada perlawanan seterusnya. Memang pahit untuk ditelan tapi itulah kenyataaannya. Adam membuat kesilapan mudah dalam tempoh 10 minit pertama. Back pass dan hilang penguasaaan bola secara mudah memberikan risiko pada gawang LFC. Teringat apa yang jurulatih bolasepak saya katakan dulu semasa di zaman sekolah; “seorang midfield dah boleh pencen bermain kalau lawan dapat curi bola dari kaki”. Mungkin kerana itulah midfield dianggap enjin dalam sesebuah pasukan. Adam ternyata gagal dalam menghidupkan jenteranya dalam perlawanan ini. 


Sebaliknya, Jonjo pula yang nampak berjaya mengekalkan kesinambungan kecemerlangannya semasa perlawanan dengan AS Roma sebelum ini. Jonjo dilihat selesa dengan wataknya iaitu memastikan lebih banyak mencipta peluang dari bahagian tengah padang. Kejayaannya mempelbagaikan hantaran dan menghidupkan pemain sayap nyata beri kelebihan pada dirinya sendiri dalam pemarkahan/penilaian pemain bagi menghadapi musim yang akan datang ini. Cuma apa yang dikesalkan, pemain sayap pula gagal memanfaatkan peluang yang dihidang. Downing dan Joe Cole terasa seperti penumpang. Tak nampak dengan jelas apa sumbangan mereka dan jika diberi peluang sekalipun gagal untuk menyerlah atau setidaknya memberi masalah pada pihak lawan. Percubaan berani Brendan Rodgers (BR) menukar posisi Joe Cole ke kiri dan Downing di sebelah kanan juga tidak membuahkan hasil. Downing masih ada alasan kerana baru sertai pasukan sejak pulang dari tugas wakili England tetapi Cole terbukti gagal menyaingi arus pemain muda.


Separuh masa kedua dimulakan dengan pembabitan Hendo yang masuk menggantikan Adam serta Eccleston, Sterling, Wisdom dan penjaga gol Gulasci. Hendo tidak tunggu lama untuk member impak pada perlawanan terutamanya di bahagian tengah yang kelihatan kurang bermaya sepanjang separuh masa pertama berlangsung. Hantaran yang lebih berkualiti dan pantas banyak memberi tekanan pada pertahanan Spurs. Ditambah pula dengan larian Sterling yang berani membawa bola lebih hampir ke kotak penalti dan Eccleston yang dilihat bermain bersungguh-sungguh untuk memenangi hati pengurus.


Saat yang ditunggu-tunggu tiba pada minit ke 60. Steven Gerrard, Fabio Borini, Lucas Leiva dimasukkan bersama Danny Wilson, Stephen Sama dan Jack Robinson. Corak permainan berubah secara tiba-tiba dengan hantaran yang lebih baik, cross-field passes dan yang penting lebih banyak peluang terhidang. Walaupun Gerrard yang banyak bermain di kawasan sendiri kerana member lebih banyak ruang pada Lucas, tetap mampu menghulurkan bola dengan menarik pada barisan depan. Lucas pula kembali pada tahap terbaiknya tetapi masih jelas dilihat Lucas bermain secara terlalu berhati-hati. Mungkin masih dihantui masalah kecederaan yang baru pulih dimana hampir meragut karier bolasepaknya. 




Dengan masa permainan yang singkat, tidak adil rasanya untuk saya menulis tentang Borini yang melakukan penampilan pertamanya untuk LFC. Saya terpaksa tunggu sehingga perlawanan play-off Europa League bertemu dengan FC Gomel sambil mengharapkan Borini diberi peluang bermain lebih lama. Sungguhpun demikian, secara ringkasnya Borini dilihat tidak canggung dengan corak permainan LFC dan mampu bermain dengan baik bersama Andy Carroll.


 Jika dilihat dari percaturan dan susunan BR, Borini diletakkan disebelah kiri dan Borini akan menggunakan kebolehannya menggelecek dan membawa bola ke tengah sambil memberi ruang pada Carroll lebih bebas di bahagian tengah. Inilah tipikalnya sistem dan konsep 4-3-3 yang mana watak seperti Borini atau Suarez yang akan digunakan dengan sebaik mungkin dan melancarkan serangan dari tepi dan kurang menggunakan watak midfield. BR begitu komited dengan impiannya dalam melaksanakan sistem yang menjadi kegemarannya.  

Kesimpulannya; saya secara peribadi berharap BR akan menurunkan kesebelasan terbaiknya ketika menentang FC Gomel 9hb Ogos 2012 nanti kerana masa untuk ujikaji dan percubaan telah tamat. Harapnya BR telah bersedia untuk menterjemahkan sistem 4-3-3 yang sememangnya menjadi impian beliau.


Terima Kasih


Mohd. Muzafar Mustapha
(Shankly List)

No comments:

Post a Comment