Tuesday 10 July 2012

Martin Skrtel; The Wall of Anfield


Martin Skrtel


Salam Semua,

Seperti yang telah saya janjikan, setelah saya menulis pendapat peribadi saya tentang Pepe Reina, kali ini saya akan menyentuh pula seorang lagi pemain utama Liverpool FC (LFC) iaitu Martin Skrtel. Agak janggal untuk saya menaip perkataan “pemain utama”  jika kita mengenang semula sejarah pemain pertahanan ini datang ke Anfield. Saya mengatakan begini kerana sebelum Skrtel dibawa masuk ke Anfield oleh Rafa Benitez pada tahun 2008 pada harga sekitar £6.5 juta, rasanya ramai di kalangan peminat LFC tidak kenal siapa pemain pertahanan ini. Bukan setakat tak kenal, nak mengeja nama dia pun tak pandai; apatah lagi nak menyebutnya. Malah, ada diantara kami di Southern yang hingga sekarang menyebut “Seketul”.

Pembelian Skrtel pada masa itu adalah bagi memberi saingan kepada Daniel Agger dan projek jangkapanjang mengisi tempat Jamie Carragher. Pemain yang diberi nama jolokan The Terminator ini ternyata mampu bermain dengan tempo yang laju dan keras. Beliau membuktikan berkali-kali kepakaran dalam memintas bola, bijak membuat clean tackle dan sangat cemerlang dalam pertarungan bola tinggi. 



Posisi yang sangat sesuai dan sinonim untuk beliau adalah centre back. Memandangkan sistem bolasepak masakini tidak lagi mengamalkan posisi “last-man”, di sinilah selalunya berlaku kebocoran di benteng pertahanan LFC. Secara keseluruhannya, Skrtel banyak digandingkan dengan Carragher di bahagian tengah benteng pertahanan. Terlalu kerap kita lihat Carragher gagal mengikut rentak Skrtel yang bertindak sebagai stopper. Kegagalan Carragher berfungsi sebagai “sweeper” ini secara langsung menyulitkan tugas Skrtel kerana barisan perangkap offside tidak sejajar. Bagi yang mengikuti rapat perkembangan Skrtel amnya dan sistem pertahanan LFC keseluruhan khasnya, pasti setuju bahawa Skrtel dan Carragher seringkali berlaga atau berlanggar sesama sendiri ketika menjalankan tugas dalam mempertahankan benteng LFC. Di sinilah antara contoh yang nyata bagaimana keserasian dua pemain ini perlu diperbaiki.

Baru-baru ini penyokong LFC digegarkan dengan berita yang mengatakan Skrtel bakal meninggalkan Anfield untuk menyertai Manchester City. Belumpun reda berita tersebut, angin baru pula kencang bertiup Anzhi Makhachkala juga berminat membawa Skrtel ke Russia. Namun, kerisauan itu mula reda bila Skrtel mengatakan dalam website rasminya bahawa dia belum ada rancangan untuk meninggalkan Anfield buat masa terdekat ini. Tapi, amat sukar untuk menyekat seorang pemain bila dilamar oleh Kelab yang ternyata mampu member kelebihan dari segi wang ringgit dan peluang untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara. Kita nantikan bersama apa kesudahan episod berita angin ini. 


Sumbangan Skrtel pada LFC terutamanya pada musim lepas terlalu besar. Malah, ramai yang mengatakan musim 2011/2012 adalah musim terbaik beliau sehingga dianugerahkan Pemain Terbaik Liverpool untuk musim tersebut. Sumbangan beliau bukan setakat diiktiraf oleh LFC, malah dianugerahkan Pemain Bolasepak Terbaik Slovakia untuk tahun 2011. Anugerah yang sama beliau menangi pada tahun 2007 dan 2008. 


Watak Skrtel di LFC masih diperlukan, tambahan pula dengan Carragher yang semakin dikejar usia. Apa yang perlu diberi penekanan oleh pengurus baru, Brendan Rodgers adalah “sparring partner” yang bakal bergandingan dengan beliau. Agger merupakan pilihan yang baik tetapi sering dibelenggu masalah kecederaan. Ini lebih menyulitkan tugas Skrtel kerana sukar mengadaptasi keserasian apabila sering bertukar gandingan. Coates pula tampak masih goyang bila diberi peluang turun bermain. Perlawanan menentang Queens Park Rangers membuktikan betapa gandingan Coates dan Skrtel terlalu banyak kelemahan. 

Dalam masa yang sama, Skrtel perlu memperbaiki mutu zonal defending beliau. Memandangkan kaedah man-to-man marking sudah semakin pupus dalam bolasepak moden, Skrtel tampak bergelut dengan system zonal defending ini terutama ketika sepakan sudut dan sepakan percuma. Mungkin ini bukan kelemahan nyata Skrtel tetapi sekali lagi fungsi sparring partner yang menyebabkan Skrtel sering terperangkap dalam sistem zonal ini kerana perlu diingat dalam system zonal ini pasti akan wujud satu ruang bebas untuk pemain lawan terutamanya apabila pertahanan tidak berkomunikasi dengan baik dalam menentukan “zone” masing-masing.

Selain itu, sikap agresif Skrtel juga patut diberi perhatian kerana sehingga kini, nasib masih menyebelahi Skrtel kerana sering terlepas dari hukuman kecuali kekasaran yang beliau lakukan semasa dilayangkan kad merah ketika dibelasah Tottenham Hotspurs 4-0 dimana LFC terpaksa bermain dengan 9 pemain. Ironinya, banyak rencana dan artikel yang saya baca mengenai Skrtel mengatakan corak permainan beliau semakin matang sejak kejadian dilayangkan kad merah tersebut. Mungkin inilah yang Skrtel maksudkan website rasminya dimana motto hidupnya yang diamalkan selama ini adalah; "You can fall a thousand times but you will stand up and go on."



Semangat melawan Skrtel juga boleh dilabel berada ditahap yang sangat tinggi. Jaringan beliau semasa Final Carling Cup dianggap sebagai pembakar semangat rakan-rakan yang lain. Saya yakin Skrtel mahu terus berada di Anfield tetapi jika benar dia masih sanggup untuk menyarung jersi LFC musim yang akan datang ini, Rodgers perlu pastikan Skrtel diberi gandingan yang lebih baik dan mampu mengikut rentak pantas dan agresifnya. Pemain seperti Skrtel adalah terlalu berharga jika dilepaskan dan pengalaman yang telah dilalui bersama LFC sepatutnya digunakan sebaik mungkin. Rodgers perlu bertindak pantas dalam memastikan Skrtel terus kekal di Anfield.

Terima Kasih


Shankly List (Apai)

No comments:

Post a Comment