Sunday 8 July 2012

Pepe Reina; The Man With The Golden Glove


Salam Semua,

Seperti biasa setiapkali pembukaan musim saya akan mula menulis tentang pendapat peribadi dan persiapan Liverpool FC (LFC) menghadapi musim baru. Pada tulisan saya yang terdahulu, saya banyak membicarakan tentang pasukan tetapi mulai hari ini hingga permulaan musim 2012/2013, saya akan cuba menulis tentang beberapa pemain utama LFC.


 Untuk kali ini, saya akan bermula dengan penjaga gol LFC iaitu Pepe Reina. Saya memilih untuk bermula dengan Reina kerana kebelakangan ini banyak berita angin yang didengar mengatakan perkhidmatan Reina akan ditamatkan. Kelab yang hangat dikaitkan dengan penjualan Reina adalah AC Milan yang mana sekarang penjaga gol utamanya adalah Christian Abiati dan pilihan kedua adalah Marco Amelia.

Mengimbas kembali sejarah Reina; beliau yang dibawa ke Anfield oleh Rafa Benitez selepas LFC menjuarai UCL pada 2005 bagi memberi saingan kepada Jerzy Dudek yg pada ketika itu pilihan utama dalam tugas menjaga gawang LFC. Kehadiran Reina yang dibeli dari Villareal pada harga  £6 juta dilihat sebagai persediaan Rafa untuk menggantikan tempat Dudek yang dihambat usia dan persembahan turun naiknya sepanjang musin 2004/2005. Lebih mencemaskan Rafa adalah, penjaga gol kedua dan ketiga semasa tempoh itu adalah Chris Kirkland dan Scott Carson yang mana kedua-dua penjaga gol ini dilihat tidak bersedia untuk dijadikan penjaga gol utama sekiranya Dudek tidak dapat beraksi.

Sejak kemasukan Reina dalam BPL, pemerhati bolasepak di England mengakui bahawa Reina adalah penjaga gol terbaik dan dakwaan ini dibuktikan dengan rekod cemerlang Reina menggondol gelaran sarung tangan emas tiga musim berturut-turut iaitu dari musim 2005/2006 hingga 2007/2008. Pada waktu itu BPL dihiasi dengan nama-nama besar penjaga gol seperti Van Der Sar, Tim Howard, Peter Cech, Thomas Sorenson, Almunia dan ramai lagi. Namun, persembahan Reina dilihat sebagai yang terbaik di BPL sepanjang tempoh 5 tahun sehinggalah timbul nama penjaga gol era terbaru seperti Tim Krul dan Joe Hart.  


Jadi apakah yang menjadi punca tentang berita penjualan Reina baru-baru ini? Tidak dapat dinafikan bahawa prestasi pasukan LFC agak merudum 2 musim yang terdahulu ini. Tetapi adakah kesemuanya berpunca dari Reina? Adakah semua gol yang dibolosi disebabkan oleh kelalaian dan kealpaan Reina?

Inilah risiko yang perlu dipikul oleh mana-mana penjaga gol. Memetik kata-kata lagenda LFC sendiri iaitu Ian Rush; “sebagai penyerang; saya boleh melepaskan 10 peluang dalam satu permainan untuk jaringkan gol dan sekali saya jaringkan gol peminat akan lupa tentang 10 peluang yang saya lepaskan. Tetapi, bagi penjaga gol; menyelamatkan 10 percubaan bahaya akan dilupakan oleh peminat bila dia melakukan 1 kesilapan yang menyebabkan gawangnya bolos”.  Tambahan pula, dalam 2 musim yang lepas kedudukan Reina sering terdedah pada serangan. Selain Skrtel dan Agger, pertahanan lain terutamanya Glenn Johnson dan Carragher terlalu kerap melakukan kesilapan mudah sehingga mendatangkan masalah pada Reina. Ini ditambah pula dengan persembahan Enrique di akhir musim yang dilihat merudum dan tidak beraksi dengan baik.

Melihat pada kes Reina; saya teringat pada kes yang seumpama ini yang melibatkan midfield kesayangan LFC iaitu Xabi Alonso. Tentu semua peminat LFC ingat bagaimana persembahan Alonso yang dilihat menurun pada musim 2007/2008. Tetapi pada musim 2008/2009, Alonso kembali menyengat dan persembahannya berada di tahap yang terbaik. Namun pada awal musim 2008, Rafa telah menyuarakan niatnya pada Alonso untuk menjual beliau pada Juventus dan mempertimbangkan membawa masuk Gareth Barry yang ketika itu bermain untuk Aston Villa. Melihat pada persembahan yang begitu cemerlang dari Alonso, Rafa cuba memujuk beliau untuk terus berada di Anfield tetapi segalanya sudah terlambat. Alonso telahpun bertekad untuk pulang ke Spain dan menerima lamaran Real Madrid. Sekarang, kita dapat lihat betapa Alonso masih boleh beraksi pada tahap yang luarbiasa terutama di pentas Euro 2012 baru-baru ini.

Pendapat peribadi saya, setiap pemain akan melalui tempoh dimana persembahannya jatuh secara mendadak. Mereka juga manusia; bukannya robot atau mesin yang boleh ditetapkan tahap keberkesanannya. Malah, mesin juga boleh mengalami kerosakan. Kita perlu lebih adil dalam menilai seseorang pemain. Untuk kes Reina, saya mengambilkira faktor mood dan kelangsungan pasukan. Sebagai pemain yang ditugaskan untuk menjadi benteng terakhir; moralnya mungkin terjejas dengan beberapa gol yang disebabkan kesilapan mudah benteng pertahanan. Kadangkala kita dapat lihat dengan jelas bagaimana reaksi Reina apabila melihat bola menerjah masuk kedalam pintu golnya. Seperti saya katakan tadi; dia juga manusia. Rasa kecewa, marah, kesal, malu dan bosan tetap ada dalam jiwa Reina. Berapa lama yang Reina mampu bertahan dan menyelamatkan bola hasil kesilapan pertahanan? Dalam serangan yang bertali arus, pasti ada sekali dua peluang yang boleh menyebabkan golnya dibolosi.
Andaikata apa yang kita dengar tentang Reina adalah benar, siapa pula yang dilihat sesuai untuk menggantikan tempatnya? Media mencanangkan nama seperti Hogo Lloris dari Lyon yang berumur 25 tahun dan dianggarkan berharga sekitar £12-15 juta. Saya tidak mengatakan Lloris tidak cukup bagus tetapi saya mempunyai 2 sebab untuk tidak setuju. Pertama; masihkah semua ingat nama penjaga gol dari France yang pernah bermain di BPL seperti Fabien Barthez, Charle Intadje? Saya rasa saya tidak perlu menulis lebih terperinci tentang 2 nama ini kerana kita semua tahu betapa gagalnya mereka di BPL. Kedua; Lloris beraksi untuk Lyon di Ligue 1 dan tak dapat dinafikan bahawa beliau antara penjaga gol terbaik di liga tersebut. Bukan niat memperkecilkan liga France tetapi jauhnya mutu liga tersebut jika dibandingkan dengan BPL. Persembahan dan bakat seumpama Lloris di France Ligue 1 boleh dikira setanding dengan penjaga gol seperti Paul Robinson dari Blackburn Rovers dan  Jussi Jaaskelainen dari Bolton Wanderers.
Kemudian nama Manuel Neuer dari Shalke 04 pula dikaitkan dalam deruan berita angin ini. Neuer yang sama umurnya dengan Lloris dan dikatakan bernilai sekitar £12 juta. Saya tidak menafikan Neuer sekarang layak dibariskan dalam barisan penjaga gol terbaik Eropah. Sumbangannya sangat besar dalam menentukan kedudukan Shalke 04 di kancah saingan Bundesliga 2011/2012. Namun, saya persoalkan satu soalan yang sangat mudah tetapi rumit untuk dijawap. Dengan layaknya Shalke 04 bertanding di Liga Juara-Juara musim akan datang, berapakah peratusan yang boleh kita beri untuk membawa masuk penjaga gol ini ke Anfield?
Saya tetap berpendapat Reina adalah antara pilihan penjaga gol terbaik dunia sekarang. LFC sepatutnya rasa beruntung kerana ada pemain yang mutunya seperti Reina yang masih menyarung jersi LFC dalam keadaan LFC tidak layak bermain di Liga Juara-Juara. Adalah menjadi impian setiap pemain yang bermain di pentas liga Eropah untuk terlibat dalam Liga tersebut. Mengapa harus memperjudikan nasib untuk membawa nama baru sedangkan kita tahu Reina masih mampu untuk memberi perkhidmatan yang baik untuk LFC? Apa yang perlu LFC beri penekanan adalah memperkuatkan benteng pertahanan dan memastikan Reina lebih dilindungi. Reina telah membuktikan komitmennya pada LFC dan saya masih ingat komennya semasa dikaitkan dengan pasukan gergasi lain dalam dan luar BPL; "I'm tired of rumours linking me with many teams in England and abroad.."

Terima Kasih


Shankly List (Apai)

1 comment: