Saturday 21 July 2012

Jordan Henderson; Perjalanan Yang Masih Jauh




Salam Semua;

Saya kembali lagi dengan ulasan pemain pra musim. Setelah menimbulkan pelbagai reaksi dalam ulasan peribadi saya tentang Andy Carroll, saya kini cuba untuk buat ulasan ikhlas dan pendapat peribadi saya tentang pemain berusia 21 tahun yang dibeli dari Sunderland pada musim lepas iaitu Jordan Henderson atau lebih dikenali sebagai Hendo. Tiba-tiba ramai yang mengerutkan kening kerana saya memilih pemain ini untuk diberi perhatian. Saya faham situasi ini kerana ramai yang mempertikaikan sumbangan Hendo pada pasukan Liverpool FC (LFC) sepanjang musim lepas. Mengapa Hendo patut saya pilih sedangkan ada pemain utama lain yang perlu diberi perhatian.

Saya mempunyai alasan saya yang tersendiri untuk memilih Hendo dalam ulasan saya kali ini. Dan seperti biasa, saya tidak dapat nak memaksa anda semua bersetuju dengan apa yang saya ulaskan kerana saya sering mengingatkan anda semua bahawa saya menulis berpandukan pada apa yang saya tahu dan dengan ini saya dapat beri ulasan seikhlas yang mungkin. 

Hendo dibawa masuk ke Anfield oleh King Kenny pada pembukaan musin 2011/2012 dari Sunderland dengan membawa tanda harga yang tidak dinyatakan tetapi diberitakan nilai yang dirundingkan antara kedua-dua pasukan iaitu Sunderland dan LFC mencecah antara £16juta hingga £20juta. Hendo yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Sunderland pada 2009 dan 2010 dilihat sebagai antara pemain tengah yang bakal menyinar di BPL dan mampu memberi sinar pada pasukan England pada masa yang sama.

Berbalik pada prestasi Hendo di LFC; saya secara peribadi melihat Hendo mampu untuk menjadi pemain yang mampu mengubah nasib LFC. Mungkin bukan dalam tempoh terdekat tetapi Hendo sangat sesuai dilibatkan dalam projek jangka panjang Brendan Rodgers (BR) untuk mengembalikan LFC ke landasan yang sepatutnya. Saya maklum dengan senario yang sediaada di kalangan penyokong LFC sekarang. Ramai yang mengatakan bahawa pembelian Hendo adalah satu kesilapan. Harga yang dibayar untuk Hendo dianggap tidak berbaloi. Sumbangannya terlalu sedikit. Corak permainan pula tidak menampakkan bahawa Hendo dapat membantu LFC.. bermacam-macam lagi yang saya baca samada dalam negara mahupun penyokong di Anfield sendiri.

Adakah pembeliannya satu pembaziran? Saya tidak tahu perbandingan dari sudut mana penyokong memberi pendapat ini. Apa yang dijadikan pengukur bagi mengatakan sesuatu pembelian itu dianggap satu pembaziran? Adakah kerana pemain seperti Suarez yang dibeli dan terus memberi impak positif dijadikan perbandingan dengan kedudukan Hendo? Jika itu yang dijadikan perbandingan, saya rasa tindakan dan dakwaan ini tidak adil sama sekali. 

Hendo dibeli ketika dia berumur 21 tahun. Dia dibawa ke Anfield ketika dia baru mencapai tahap prestasi cemerlang bersama SUNDERLAND. Mungkin ramai yang tidak sedar maksud ayat saya; SUNDERLAND. Kelab yang jauh mutunya jika dibandingkan dengan LFC. Prestasi seperti Hendo di Sunderland adalah sama seperti bakat yang ada pada Spearing di LFC. Hendo menimba ilmu di sebagai pemain remaja di Sunderland dan ianya terlalu jauh jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan untuk pemain seperti Spearing yang berpeluang menuntut bersama akademi LFC. 

Untuk seorang pemain muda dari Sunderland tetapi berjaya meloloskan diri ke skuad England Bawah 19, kemudian dinaikkan taraf mewakili skuad Bawah 20, diikuti dengan kepercayaan menjadi kapten skuad Bawah 21 dan baru-baru ini dipanggil untuk menyertai pasukan senior dalam Euro 2012; saya kira ini adalah satu pencapaian yang sangat menakjubkan

Berbalik pada faktor umur; Hendo dipaksa untuk menerima tanggungjawap yang besar pada usia semudanya sebaik sahaja menandatangani kontrak bersama pasukan sehebat LFC. Ditambah pula bermain disamping nama besar seperti Steven Gerrard dan Lucas di bahagian tengah sedikit sebanyak menenggelamkan bakat yang ada padanya. Walau sebaik manapun Hendo beraksi, kelibat SG8 pasti akan menjadi bayang-bayang yang terlalu besar buat Hendo dan secara langsung menjadikan Hendo kurang diberi perhatian. Penyokong akan hanya “nampak” Hendo jika dia buat kesilapan dan tidak beri perhatian jika dia mencipta peluang yang baik untuk pemain lain.



Lebih tidak adil jika Hendo dibandingkan dengan persembahan SG8. Tetapi itulah kenyataannya yang terpaksa Hendo telan. Beraksi bersama pemain hebat yang secara kebetulan di posisi yang sama atau setidaknya memegang peranan yang sama memberi pelbagai kesan untuk pemain muda seperti Hendo.  Tetapi penyokong yang mengatakan Hendo tidak cukup bagus tidak membuat kerja rumah sebelum melemparkan dakwaan tersebut. 
Dengan peluang yang sangat terhad untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama, Hendo sebenarnya telah menjalankan tugas dengan baik. Sepanjang 19 kali Hendo diberi peluang beraksi, beliau berjaya membuat 84% hantaran tepat dari jumlah keseluruhan 912 hantaran. Dan lebih memeranjatkan, statistik menunjukkan 44 daripadanya adalah hantaran jauh yang tepat pada yang disasarkannya.  Saya mungkin menulis sambil didorong oleh rasa minat saya pada Hendo tapi satu perkara yang pasti adalah statistik tidak berbohong.



Posisi juga memainkan peranan dalam masalah Hendo ini. Secara keseluruhan dalam musim yang lepas, Hendo diletakkan bermain di bahagian tepi (wing midfield). Itu taktikal dan keputusan King Kenny yang perlu saya hormati. Tetapi, Hendo dikenali sebagai pemain tengah yang berkesan ketika bermain di bahagian tengah padang. Beliau mempunyai kebolehan dalam mencipta peluang, kawalan bola yang baik dan sekaligus pergerakan bola tidak terhenti. Ini adalah salah satu elemen yang penting dalam sesuatu perlawanan. Bola perlu sentiasa bergerak dan midfield yang bijak tidak akan membiarkan bola terhenti terlalu lama kerana ianya boleh menjejaskan pergerakan penyerang. 

Cuma kelemahan Hendo adalah, dia bukan seorang defensive midfielder. Apabila beraksi bersama SG8 atau Charlie Adam, Hendo akan dikerah untuk memainkan peranan yang bukan dalam kepakarannya. Hendo kurang bijak dalam membuat tackle dan terjahannya sering mendatangkan risiko pasukan lawan dianugerahkan sepakan percuma.  

Atas sebab itulah, saya sangat gembira bila BR mengatakan LFC akan kerap menggunakan formasi 4-3-3 untuk musim akan datang ini. Ini kerana bakat yang ada pada Hendo tidak sesuai untuk bermain daalam formasi 4-4-2. Mungkin Hendo akan berhadapan dengan cabaran yang lebih besar apabila BR menggunakan formasi 4-3-3 kerana lambakan midfield di LFC tetapi setidaknya dia akan lebih berkesan jika diberi peluang untuk turun bermain terutamanya jika diletakkan di bahagian tengah padang dan bukannya sebagai wing midfield.

Apapun, saya belajar dari kesilapan saya sendiri dalam hal menilai pemain muda seperti Hendo. Saya juga tergolong dalam golongan yang mempertikaikan sumbangan dan mutu permainan Lucas semasa awal pembabitannya dalam skuad LFC tetapi Lucas membuktikan bahawa pendapat saya tidak tepat dan saya perlu terima bahawa saya menilai Lucas dari sudut yang salah. Saya percaya Hendo akan menjadi nadi LFC jika diberi kepercayaan dan lebih kerap diberi peluang bermain. Sekarang Hendo perlu banyak bersabar dan bersedia untuk menunjukkan bakatnya yang sebenar jika dia diberi peluang beraksi. 

Secara peribadi; saya sangat berharap Henderson dapat dikekalkan dalam skuad musim yang akan datang kerana LFC akan rasa ruginya jika Hendo bermain untuk pasukan lain pada ketika umurnya yang membolehkan Hendo terus menimba ilmu bagi memantapkan lagi pasukan amnya dan memperbaiki prestasi dirinya sendiri khasnya


Terima Kasih



Mohd. Muzafar Mustapha
(Shankly List - Apai)

2 comments: