Saturday 28 July 2012

Perlawanan Pra-Musim LFC vs AS Roma


Sebenarnya saya tidak terlintas untuk menulis ulasan tentang perlawanan Liverpool FC (LFC) dengan Roma. Bukan kerana keputusan yang tidak memihak pada LFC tetapi saya selalu memandang perlawanan persahabatan pra-musim ini sebagai strategi pemasaran dan tidak melambangkan kekuatan mahupun kelemahan sebenar sesebuah pasukan. Selain itu, saya sering menganggap siri jelajah ini sebagai langkah “memujuk” pemain dari akademi bahawa mereka masih ada harapan untuk bersaing dengan pemain senior yang sedia ada dan yang bakal dibawa masuk ke pasukan. Sukan bolasepak sekarang menjadi perniagaan dan siri perlawanan persahabatan ini boleh dianggap sebagai salah satu cara mencapai matlamat “global branding” selain membuka mata penaja untuk terus melabur.

Namun begitu, minat untuk menulis ulasan ini tiba-tiba timbul apabila melihat beberapa pemain yang menunjukkan prestasi yang begitu baik dan memikat hati penyokong. Dan dalam masa yang sama juga, perlawanan tersebut mempamerkan sesuatu yang sangat “mengerikan” terutama membabitkan pemain senior. 

Apa yang pasti pemain yang beraksi cemerlang pada perlawanan tersebut adalah Jonjo Shelvey. Jonjo menonjolkan mutu permainan yang cukup matang dan Brendan Rodgers (BR) mampu menarik nafas lega kerana jika BR serius dalam memperkenalkan formasi 4-3-3; Jonjo tampak calon yang sangat baik untuk dilibatkan dalam perancangan beliau. Sungguhpun demikian, BR harus mengekalkan watak Jonjo semasa perlawanan dengan Roma ini dan bukannya seperti menentang Toronto FC dimana Jonjo diberi peranan yang terlalu “deep” di kawasan sendiri. Sebagai penyokong LFC, saya secara peribadi mampu tersenyum dengan aksi Jonjo yang lebih berani memacu serangan dan mampu membawa bola dalam kotak penalti dengan begitu kerap. Mungkin terlalu awal untuk saya berikan penilaian tetapi setidaknya Jonjo berjaya membuat saya mengimbau kembali aksi Steven Gerrard semasa zaman mula diberi peranan attacking midfield. Dengan lambakan pemain midfield yang ada sekarang, saya rasa Jonjo boleh mula memasang angan-angan dan harapan diturunkan lebih kerap dalam kesebelasan utama.

Jonjo membuktikan betapa kaedah pinjaman pemain pada pasukan lain adalah salah satu cara yang berkesan dalam proses mematangkan seseorang pemain. Peluang lebih terbuka untuk pemain seperti Jonjo beraksi dalam kesebelasan utama jika dipinjamkan pada pasukan yang lebih memerlukan. Pengalaman bermain dalam kesebelasan utama sangat penting bagi seseorang pemain walaupun dalam liga bawahan kerana penyenaraian dalam kesebelasan utama mampu mempertingkatkan moral dan keyakinan pemain tersebut.

Ironinya; Charlie Adam pula berjaya memperbaiki mutu permainannya semasa dimasukkan menggantikan tempat Aquilani. Walaupun dihantui dengan berita yang mengatakan Adam akan dijual atau dipinjamkan, beliau tampak berkesan semasa perlawanan ini dan seolah-olah menghantar amaran pada midfield yang lain bahawa dia tidak akan menyerah kalah dengan begitu mudah. Masalahnya dengan Adam ini, beliau dilihat bergelut dengan masalah mengekalkan tahap permainannya. Adam mampu bermain cemerlang dengan hantaran yang tepat, kawalan bola yang baik dan mengawal arus serangan dengan berkesan pada sesuatu perlawanan tetapi aksinya boleh jatuh menjunam pada perlawanan seterusnya. 

Bagi pemain muda, saya harus memberi pujian pada Suso dan pemain pertahanan Ryan McLaughin. Kedua-dua pemain ini menampakkan mereka tidak rasa janggal atau gugup beraksi bersama pemain senior. Malah, mereka tampak lebih yakin dan bersemangat. Lebih-lebih lagi Ryan McLaughin yang ditugaskan mengawal pergerakan pemain yang jauh lebih berpengalaman iaitu Totti. 


Mungkin ini yang saya nyatakan di awal penulisan tadi, inilah masanya mereka menunjukkan taring dan bakat mereka semasa peluang terhidang. Bukan mudah untuk menyelit diantara nama-nama besar apatah lagi terpilih untuk diserapkan dalam skuad senior. Mungkin kemampuan Raheem Sterling yang telah mula diturunkan dalam skuad senior walaupun sebagai pemain gentian musim lepas menjadi peniup semangat bagi pemain muda seperti mereka berdua ini untuk terus memenangi hati pengurus.


Tidak ketinggalan persembahan yang memberangsangkan dari penjaga gol muda Peter Gulacsi. Kejayaan menidakkan dua peluang terbuka Roma sedikit sebanyak mampu menjadikan Doni dan Jones tidak lena tidur. Kelemahan yang nyata bagi penjaga gol muda ini adalah semasa membuat clearance dari hantaran belakang dari pemain pertahanan. Itulah yang membezakan penjaga gol yang ada dalam skuad LFC dengan Pepe Reina. Mereka tidak ada kebolehan seperti Reina yang mampu membuat clearance sambil menghidangkan peluang pada rakan untuk membuat serangan yang mampu menghasilkan tekanan pada pihak lawan. Kadangkala, lontaran dan sepakan jauh Reina seperti hantaran dari seorang midfield pada penyerang.


Disebalik kegembiraan melihat bakat muda yang menonjol, penyokong LFC berhak merasa cemas apabila melihat aksi pemain senior yang boleh dianggap buruk. Persembahan Jose Enrique dan Jay Spearing dilihat seperti pemain yang baru keluar dari akademi. Enrique dengan kawalan yang teruk dan terkial-kial mengawal permainan. Begitu juga dengan Spearing yang berkali-kali mewujudkan risiko apabila sering membuat hantaran yang kurang tepat dan paling nyata hantaran belakang yang mampu memberi peluang pada pihak lawan mencipta peluang jaringan. Persembahan seumpama ini tidak seharusnya berlaku di kalangan pemain yang jauh lebih berpengalaman dari pemain muda. Saya tidak pasti samada aksi ini terjadi kerana mereka menganggap ini hanya perlawanan persahabatan atau mereka janggal dengan taktikal yang diamalkan oleh BR. Sekali lagi, jika 4-3-3 yang BR impikan dan Spearing serta Enrique terus bermain pada tahap yang mereka tunjukkan pada perlawanan Roma ini; LFC akan menempah masalah yang besar.

Apapun, masih terlalu awal untuk menilai pasukan dan pemain dalam siri perlawanan persahabatan seumpama ini. Kita nantikan perlawanan seterusnya dimana LFC akan bertemu pasukan yang ternyata liat untuk dijinakkan iaitu Tottenham Hotspurs pada awal pagi Ahad 29/07/2012 ini.

Sekian ulasan ringkas dari saya, Terima Kasih

Mohd. Muzafar Mustapha
(Shankly List)

No comments:

Post a Comment