Wednesday 11 July 2012

Andy Carroll




Salam Semua,


Kita berjumpa lagi selepas ulasan peribadi saya tentang Pepe Reina dan Martin Skrtel. Sebelum saya menulis lebih jauh, saya perlu maklumkan pada semua bahawa apa yang saya tulis ini berlandaskan pendapat peribadi saya. Tidak semestinya betul kerana saya tidaklah mahir mana dalam dunia bolasepak. Saya menulis berpandukan pengalaman saya sendiri bermain bola tahap wakil kampong dan minat saya yang mendalam dalam bolasepak. Saya hanya dapat menilai seseorang pemain dari perspektif saya sendiri. Sekiranya ada pendapat saya yang salah dan menyimpang dari apa yang anda fikirkan tentang pemain yang saya ulas, saya mohon maaf dan saya terbuka pada sebarang komen dan pendapat. Lagipun memang itu tujuan saya menulis; disamping berkongsi apa yang saya tahu dan fikirkan, saya juga harap dapat sedikit apa yang anda semua tahu.

Kali ini saya ingin mengulas tentang Andy Carroll. Sebenarnya Carroll tidak berada dalam perancangan awal saya dalam mengulas barisan pemain utama Liverpool FC (LFC). Tetapi setelah kita dihidangkan dengan beberapa berita mengatakan Carroll bakal dipinjamkan ke AC Milan, saya rasa terpanggil untuk mengulas tentang pemain tinggi lampai ini.



Seperti biasa, kita singkap sedikit sejarah pembabitan Carroll dalam skuad LFC. Secara peribadi, saya berpendapat keputusan membeli Carroll oleh Kenny Dalglish semasa jendela pembelian Januari 2010 pada harga £35 juta dibuat dalam keadaan panik. Keputusan Torres untuk meninggalkan Anfield menjadikan ada ruang kosong di barisan serangan. Hubungan baik Dalglish dengan Alan Shearer juga menjadi salah satu penyebab Carroll dipilih untuk menggantikan Torres. Tindakan Dalglish ini tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana Carroll memang terbukti berkesan menjalankan tugas sebagai penyerang semasa menyarung jersi Newcastle.  Menjaringkan 11 gol dari 20 penampilan pada separuh musim 2010 sewajarnya meletakkan beliau dalam barisan penyerang berbisa dan patut digeruni. 

Jadi dimana silapnya?



Pertama;  Carroll mengambil tempat Torres; pemain yang membawa impak yang sangat besar dalam pasukan LFC semasa dia di Anfield. Apa sahaja yang dibuat oleh Carroll akan dibandingkan dengan Torres. Penyokong tidak bertindak adil pada Carroll dalam isu ini kerana setiap pemain mempunyai cara dan trademark mereka yang tersendiri. 


Kedua;  Tag harga yang diletakkan pada badan Carroll sendiri. Peminat dan pemilik LFC mahukan setiap jumlah dari £35 juta itu mendatangkan pulangan yang baik. Bukan esok, bukan musim depan tapi setiapkali Carroll turun ke padang.


Ketiga;  Carroll mencuba terlalu kuat. Carroll memaksa dirinya untuk membuktikan bahawa nilai duit yang dibayar untuk membawa dia ke Anfield memang berbaloi dan ianya bukan satu kesilapan. Dengan media yang sering melabel beliau sebagai pembelian yang membazir dan Carroll sendiri terus memaksa dirinya untuk membuktikan reputasinya sebagai seorang penyerang hebat bagi memastikan dia terpilih mewakili England untuk kempen Euro 2012. Dalam beliau memaksa dirinya; Carroll akhirnya beraksi diluar dari kebolehan semulajadinya.


Keempat; Nasib juga tidak menyebelahi  Carroll. Sepanjang Carroll beraksi untuk LFC, boleh dikira peluangnya dapat bermain dengan Steven Gerrard sepenuh masa. Ini kerana dalam tempoh tersebut, Gerrard mengalami kecederaan. Saya tidak bermaksud hanya Gerrard yang mampu menyalurkan bola untuk Carroll  tetapi sejarah membuktikan bagaimana Torres bertindak cemerlang menjaringkan gol apabila beraksi dengan Gerrard. Malah, Torres sendiri mengakui betapa dia bergantung harap dengan hantaran Gerrard;   "I'm spoilt having a team-mate like Gerrard as I can count on him supplying me with perfect passes. You make the run into the space and however tightly marked he is, he finds a way to get the ball through in perfect condition…”



Kelima; Berpasangan dengan Suarez. Carroll dilihat tidak mampu menyaingi corak permainan Suarez. Lenggok dan skill Suarez nyata berbeza dan ditambah pula Suarez berjaya bertindak cemerlang dalam musim pertamanya bersama LFC. Suarez berjaya mencipta nama dalam tempoh yang singkat dan secara sendirinya kehebatan Suarez menjadi tembok yang tinggi bagi Carroll lepasi semata untuk dapatkan pengiktirafan penyokong dan pemerhati sukan bolasepak. Saat itu, Carroll bukan sahaja berdepan dengan masalah perbandingan dengan Torres, malah kini terpaksa bergelut untuk setidaknya menyaingi kehebatan Suarez.

Kita kembali pada desas-desus yang mengatakan Carroll akan dipinjamkan ke AC Milan. Jika dilihat pada respon Brendan Rodgers; beliau tidak menafikan kemungkinan ini. Malah, Rodgers juga mengakui bahawa dia telahpun menyuarakan isu ini pada Carroll; “I have spoken to him on his holidays, he knows exactly where he stands..” Maka dengan apa yang diluahkan oleh Rodgers, kemungkinan untuk Carroll dipinjamkan sangat tinggi dan menurut lapuran terkini, hanya menunggu respon rasmi dari AC Milan.

Jadi mengapa Rodgers tidak mahu kekalkan Carroll? Apakah yang sebenarnya dalam perancangan Rodgers sehingga Carroll disenaraikan dalam senarai pinjaman? Saya tidak dapat menjawap secara tepat tentang persolan itu tetapi saya dapat mengagak peranan Carroll dilihat tidak diperlukan kerana dapat dilihat dengan jelas bahawa Rodgers antara pengurus yang sangat berminat dengan taktik 4-3-3. 



Apabila taktik 4-3-3 dipraktikkan, Carroll sememangnya kurang sesuai untuk dilibatkan. Apabila dalam keadaan menyerang, taktik ini memerlukan penyerang yang mampu bergerak dan bijak mencari peluang sendiri dalam usaha menjaringkan gol. Berbeza dengan taktik 4-4-2, penyerang lebih banyak bergantung pada hantaran dari wing midfield (overlapping). Untuk 4-3-3; penyerang perlu bergerak secara satu unit kerana dasarnya adalah 3 penyerang akan berhadapan dengan 3+1 pertahanan. 1 penyerang perlu bertindak “lebih kreatif” untuk menjadikan kekuatan 4 pertahanan menguncup menjadi 3 dan dalam masa yang sama memberi peluang lebih terbuka pada penyerang yang lain bertindak. 

Inilah yang TIADA pada Carroll. Kelebihan Carroll adalah pada rembatan kaki kiri dan tandukannya. Sedangkan dalam taktik 4-3-3; fungsi wing midfield lebih terhad kerana perlu sentiasa bersedia membantu pertahanan sekiranya berlaku counter attack. Begitu juga dengan senjata ampuh rembatan kaki kirinya. Formasi 4-3-3 jarang sekali memerlukan penyerang meledakkan rembatan dari luar kotak kerana risiko kehilangan ball possession. 

Kesimpulannya; Carroll perlu bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan. Begitu juga dengan penyokong. Saya sememangnya dikenali sebagai yang sentiasa menyokong Carroll secara terang-terangan kerana saya sentiasa berpendapat Carroll masih muda dan masa memihak pada beliau untuk menimba lebih banyak ilmu. Mungkin bukan masa ini LFC dapat menagih sesuatu daripada Carroll tetapi saya yakin dia akan kembali menyengat. Carroll perlu bersedia untuk belajar dari pengalaman.

Sekian, Terima Kasih


Shankly List (Apai)


1 comment: