Friday 22 June 2012

Ulasan Persediaan Liverpool FC Musim 2012/2013


Musim baru BPL bakal membuka tirai tak lama lagi. Kehangatannya sudah mula terasa terutama dengan kempen Euro 2012 yang akan menghampiri pusingan suku akhir. Terlalu banyak berita angin yang berterbangan di laman social, twitter dan blog tentang aktiviti pembelian, perpindahan, pinjaman dan penjualan pemain. Walaupun kita tahu berita yang dipaparkan sememangnya berita angin dan boleh disangkal kesahihannya tapi kita juga perlu akui berita sebegini lah yang menjadikan senario bolasepak lebih menarik dan thrilling. Berita dibaca dengan perasaan bercampur baur. Dalam pada kita ketawa dengan berita yang kadangkala tidak masuk akal dan sememangnya mustahil; tetapi kita tidak boleh berbohong pada diri sendiri bahawa kita juga kadangkala berbisik sendiri alangkah bagusnya kalau berita tersebut jadi kenyataan.

Berbicara tentang isu ini; saya ingin ketengahkan pendapat saya tentang apa dan siapa yang Liverpool perlukan dalam menghadapi musim BPL yang akan bermula tak lama lagi ini. Saya hanya memberi pendapat peribadi saya sendiri berlandaskan apa yang saya lihat dan teliti terutamanya menjadikan pencapaian LFC pada musim 2011/2012 yang lepas.

FAKTOR MORAL
Semua tahu bahawa King Kenny, Steve Clark dan beberapa nama yang lain telah meninggalkan Anfield samada atas kerelaan sendiri mahupun dengan cara pemecatan. Saat ini amat kritikal untuk LFC. Kehilangan lagenda King Kenny sedikit sebanyak memberi impak pada pasukan. Saya berani menyatakan bahawa adalah bohong jika pemain boleh terima pemergian KK dengan tanpa rasa terkilan. Terutama pemain seperti Craig Bellamy, Andy Carroll, Charlie Adam, Jamie Carragher dan Steven Gerrard sendiri. Moral mereka sedikit terjejas. Kini LFC perlu pastikan moral pemain berada pada tahap yang baik. LFC perlu pastikan pemain terima sepenuhnya kenyataan bahawa KK telah tiada dan tempatnya kini diganti oleh Brendan Rodgers.



LFC perlu pastikan semua pemain boleh terima Rodgers dan perlu menjadikan apa yang berlaku di Stamford Bridge semasa tempoh pengurusaan di bawah Andres Villas Boas tidak tercetus di Anfield. Kesannya amat buruk jika ada pemain yang tidak ada rasa hormat pada pengurus pasukan. Inilah yang berlaku di Chelsea dan kita harapkan tiada amalan “player-power” di Anfield. LFC pernah mengalami masalah ini tetapi masih terkawal. Mungkin ramai yang tidak ketahui kes ini tetapi kes pergeseran pemain-pengurus di LFC pernah berlaku semasa Houllier mengambilalih tempat Roy Evan. Hubungan Evan dengan pemain memang rapat dan mirip dengan cara pendekatan KK. Masalah ini dapat diselesaikan tetapi penyokong terpaksa menelan kepahitan kehilangan pemain kesayangan mereka iaitu  Robbie Fowler.  

KESERASIAN PENGURUS-JURULATIH
Pemilihan Ketua Jurulatih juga amat penting dan ianya boleh menjadi faktor kelancaran pasukan. Saya tidak katakan Steve Clarke tidak bagus tetapi mungkin corak latihan dan khidmat nasihatnya pada KK tentang pemain tidak menepati apa yang sepatutnya. Kesesuaian antara pengurus dan ketua jurulatih sangat penting dan ianya mempengaruhi masadepan Kelab samada skuad yang sedia ada, akademi dan proses scouting. Sekali lagi saya mengambil contoh kejadian pergeseran yang seumpama ini pernah berlaku di Anfield. Rafa Benitez dan Paco Ayestaran berjaya mengecapi kejayaan sejak gabungan mereka di La Liga semasa mereka berdua di Valencia di mana mereka berjaya memenangi 2 kali liga tempatan dan 1 kali UEFA Cup . Setelah Rafa berpindah ke Anfield, Paco terus bersama Rafa. LFC berjaya memenangi UCL ketika tahun pertama Rafa dan Paco menguruskan LFC iaitu pada 2005 dan merangkul FA Cup pada tahun berikutnya. Pergeseran antara mereka berdua mula berlaku pada awal 2007. Penyokong masih tidak tahu apa punca sebenar tetapi dilapurkan dan ianya berpunca dari pertelagahan pendapat tentang system giliran pemain, zonal, taktikal dan yang paling jelas pemain yang dibeli oleh Rafa. Sejak pemergian Paco, Rafa dilihat seperti hilang punca dan akhirnya kecundang dengan permainan politik pemilik LFC saat itu. Mungkin ini kisah lama, tapi saya sekadar ingin membuktikan bahawa keserasian pengurus-jurulatih juga memainkan peranan dalam kejayaan Kelab. 

SOKONGAN PEMILIK
Faktor ini agak subjektif. Kita semua tahu betapa pemilik LFC telah banyak menyumbang dalam menyelamatkan maruah LFC. Bebanan hutang yang ditinggalkan oleh pemilik lama hampir menghantar LFC ke kancah pengurusan bank yang boleh menyebabkan 9 mata ditolak dan berkemungkinan mengikut jejak Leeds United. Sekiranya itu berlaku, pastinya ramai pemain akan meninggalkan Kelab dan tidak mustahil  termasuk Steven Gerrard sendiri.

 Saya tidak boleh mengatakan pemilik tidak beri sokongan terutama dari aspek kewangan. Kita sendiri lihat sokongan pemilik dengan member dana pada KK untuk membawa masuk Henderson, Adam, Downing dan lain-lain lagi. Sokongan kewangan sememangnya ada. Itu adalah fakta dan 

kita tidak dapat nafikan kenyataan tersebut.  Dalam masa yang sama kita mengharapkan pemilik tidak rasa “serik” untuk terus menghulur sokongan kewangan kerana kehendak bolasepak sekarang memerlukan bajet yang besar. Memang kita mengamalkan motto “Duit Tak Boleh Beli Kemenangan dan Sejarah” tapi kita juga tak boleh menidakkan kenyataan duit boleh “melancarkan” proses kea rah kemenangan dan mencipta lebih banyak sejarah.  Chelsea & Manchester City telah membuktikan hakikat ini.. Sememangnya yang bermain untuk kedua kelab ini adalah seperti pemain upahan tapi sebagai penyokong kita terpaksa juga terima kehadiran pemain seperti ini jika itulah yang diperlukan untuk membawa pulang Piala yang pernah kita menangi 18 kali.

Namun sokongan bukan sekadar dari segi kewangan. Pemilik juga perlu menampakkan sokongan dari sudut moral. Kedudukan pemilik yang juga mempunyai komitmen dengan pasukan baseball di USA dan beberapa rangkaian perniagaan lain menjadikan beliau tidak dapat berada bersama pasukan setiap masa. Ini bezanya dengan pemilik LFC yang terdahulu (bukan Hicks dan Gillete). Dahulu, LFC dimiliki oleh warga Inggeris yang perniagaan mereka beroperasi di England sendiri. Masa dan tumpuan dapat diberikan dengan lebih banyak bersama pasukan.

Kita lihat apa yang telah dilakukan oleh pemilik Chelsea, Abramovich pada saat-saat akhir penyingkiran AVB dari Chelsea. Beliau meluangkan masa setiap pagi dan petang turun ke padang latihan. Saya amat yakin apa yang dilakukan oleh beliau adalah atas usaha penasihat beliau. Tapi itu tidak penting. Apa yang penting, hasilnya amat mengagumkan. Pemain dapat lihat sendiri kesungguhan pemilik untuk turun padang dan moral mereka kembali naik setelah pemecatan AVB dan akhirnyaa berjaya memenangi FA Cup dan Champion League.

PEMILIHAN/PEMBELIAN PEMAIN YANG TEPAT 
Apabila kita menyentuh isu ini, saya yakin semua minda tertumpu pada Andy Carroll, Charlie Adam, Jordan Henderson dan Stewart Downing. Adakah pembelian ini dikira tidak tepat? Saya bukan pakar dalam bolasepak tetapi lebih pada pemerhati dan sangat berminat nak menjadi penganalisa. Mungkin ilmu saya belum sampai ke tahap boleh memberi jawapan samada sesuatu pembelian itu tepat atau tidak. Tapi, saya akan memandang isu ini dari sudut saya penyokong LFC dan saya menilai dari apa yang saya PERNAH alami bersama LFC sebagai penyokong serta apa yang saya MAHU alami bersama LFC. Dua ayat berbeza tetapi memnyimpan makna yang sama..

Berbalik pada isu pembelian; saya masih berpegang pada pendirian bahawa semua pemain yang dibeli oleh KK adalah betul dan tepat. Jangan membaca ayat saya ini sambil menilai saya adalah peminat KK. Saya beri kenyataan ini dari apa yang saya kaji. Saya ambil Downing sbagai contoh. Adakah kegagalan beliau menjaringkan gol menjadi alasan bahawa beliau adalah pembelian yang tidak tepat? Dakwaan beliau adalah pembelian yang tidak tepat patut disangkal dengan statistik percubaan beliau pada musim lepas.  Percubaan beliau yang banyak “diselamatkan” oleh tiang dan palang gol patut diambilkira. Begitu juga dengan Carroll. Jaringannya haadir pada saat LFC memerlukan. Namun, bukan ini yang hendak kita bentangkan. Apa yang perlu diberi penekanan oleh pihak pengurusan LFC adalah pembelian yang akan dibuat.

Penyerang;
Apa yang pasti, LFC memerlukan sentuhan penyerang bagi menghadapi musim yang akan datang ini. Ketiadaan Dirk Kuyt menambahkan lagi kekosongan pada posisi tersebut. Ini bukan bermaksud gandingan Suarez dan Carroll tidak mampu menghadirkan ancaman untuk pihak lawan atau menghasilkan gol tetapi keperluan untuk mencari penyerang dilihat dari sudut persediaan dan mempertajamkan lagi serangan LFC. Gandingan Suarez-Carroll masih dianggap ampuh tetapi ada waktunya Suarez perlukan gandingan yang lebih sesuai untuk sesuatu perlawanan.  Bagi menghadapi pihak lawan yang memerlukan LFC menyerang menggunakan kekuatan flank, Carroll adalah senjata yang sangat sesuai. Tetapi jika LFC mencaturkan serangan dari tengah atau banyak menggunakan teknik through ball dan wall pass, LFC perlukan penyerang yang bijak melepasi perangkap offside dan mempunyai teknik menggelecek yang baik. 



Terlalu banyak nama penyerang yang dikaitkan sepanjang tempoh off season ini seperti Daniel Sturridge, Mario Gomez, Luuk De Jong dan ramai lagi. LFC perlu lebih berwaspada dalam membeli penyerang. Tidak semua penyerang mampu “berkerja” dengan Suarez. LFC perlukan penyerang yang mampu berfikir selaras dengan corak permainan Suarez, bijak mencari tempat yang bersesuaian dengan lenggok Suarez yang terkenal suka membawa bola ke dalam kotak penalti dan yang paling penting mampu menyaingi kelajuannya. Sebenarnya LFC tak perlu lihat terlalu jauh, Raheem Steeling dan Pacheco sebenarnya semakin hampir dengan tahap matang. Tetapi, jika kedudukan kewangan LFC boleh membawa masuk penyerang yang terbukti lebih baik, itu juga satu langkah yang sangat bijak. Tetapi, dalam keadaan LFC yang tidak beraksi dalam Liga Juara-Juara, kemungkinan menyenaraikan nama-nama besar dalam dunia bolasepak ini dilihat amat tipis.

Midfield;
Dengan kepulangan Alberto Aquilani ke Anfield serta  Lucas Leiva & Charlie Adam yang telahpun pulih dari kecederaan dan kehadiran pemain dari akademi  menjadikan posisi di tengah padang sekali lagi menjadi padat. Keadaan yang agak serupa semasa pembukaan musim lepas. Jika mengikut logic, tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh Rodgers. 

Namun, LFC tidak seharusnya mudah tertipu dengan senario ini. Kebanjiran midfield tidak seharusnya menjadi alasan LFC memandang isu midfield ini sebagai remeh. Steven Gerrard yang semakin dikejar usia, masalah kecederaan, kedudukan Aquilani yang masih dalam keadaan terumbang-ambing, persahabatan antarabangsa; ini semua patut difikirkan oleh Rodgers. Secara amnya, LFC tidak pernah menghadapi masalah midfield malah LFC dikenali sebagai kelab yang dibarisi oleh midfield terbaik dunia sejak tahun 80an lagi. Keadaan ini patut dikekalkan atau ditingkatkan. Sehingga kini, tiada kedengaran lagi mana-mana pemain tengah LFC yang diberitakan mahu meninggalkan Anfield tetapi sebaliknya ramai pula yang dikaitkan akan memasuki Anfiled. Antaranya adalah pemain yang dalam tempoh pinjaman Swansea dan terbukti antara bakat yang paling menyerlah iaitu Gylfi Sigurdsson dan pemain muda dari Benfica, Nolito. 

Mana-mana pemerhati bolasepak mengatakan momentum sesebuah pasukan ditentukan oleh midfield. LFC mungkin boleh berbangga dengan dengan Steven Gerrard tetapi masanya akan tiba juga di mana seseorang pemain itu akan sampai pada tahap yang merudum. Lucas patut diberikan watak yang lebih besar kerana dia dilihat sebagai calon yang paling layak menggantikan SG manakala Jonjo dan Spearing patut diberi lebih banyak masa bermain terutama dalam kancah FA Cup dan Piala Liga. 


Pertahanan;
Penyokong LFC dikejutkan dengan berita Skrtel yang dilamar oleh dua kelab mewah Eropah iaitu Manchester City dan Anzhi Makhachkala. Tiada yang memeranjatkan dengan berita ini kerana ianya lumrah bagi mana-mana pemain Eropah yang ingin terlibat dalam Liga Juara-Juara. Kedudukan LFC sekarang memungkinkan ramai pemain yang ingin meninggalkan Anfield. Penyokong harus faham dan terima keadaan ini.

Rodgers perlu bersedia dengan rancangan dan perangkaan yang sangat rapi untuk posisi ini. Carragher yang menghampiri tempoh persaraan, Agger yang kerap menghabiskan masa di bilik rawatan, Coates yang masih dilihat bergelut dalam menyesuaikan diri dengan corak BPL, Martin Kelly yang ternyata mempersembahkan prestasi turun naik dan Glenn Johnson yang sering melakukan kesilapan mudah, Enrique yang dilihat merudum ketika penghujung musim menambahkan lagi kerisauan penyokong. Namun saya percaya, Rodgers sudah nampak permasalahan ini dan antara isikandungan temuramahnya yang saya ikuti, Rodgers mengatakan walaupun pertahanan LFC antara yang terbaik musim lepas namun banyak yang akan diperbaiki.

Kriteria yang saya harap akan diberi perhatian oleh Rodgers adalah pertahanan yang mampu bertahan untuk beraksi pada tahap cergas sepenuh masa. Ini kerana, BPL terbukti menggunakan pertahanan kiri dan kanan bertindak sebagai supporting flank. Mereka dikerah untuk menggunakan sepenuh bahagian tepi padang dan mampu melakukan overlapping dan sentiasa bersedia untuk membantu pemain sayap. Atas sebab inilah, kadangkala pemain pertahanan lambat untuk pulang ke posisi mereka apabila berhadapan dengan serang balas pihak lawan. Ini terbukti berkali-kali di mana Glenn Johnson dan Enrique sering off position dan kesilapan tersebut menghadirkan risiko pada penjaga gol.

Saya tidak berminat untuk mengulas panjang tentang penjaga gol kerana saya sentiasa berpendapat Pepe Reina adalah antara penjaga gol terbaik dunia dan jumlah gol yang dibolosi sepanjang musim lepas kebanyakkannya bukan berpunca dari kesilapan beliau. Sekali lagi, pertahanan perlu lebih berwaspada dan sepatutnya member perlindungan yang secukupnya untuk Reina.

Akhir sekali, sebagai penyokong LFC; saya sentiasa mempunyai keyakinan bahawa LFC mampu bangkit semula, mampu memberi saingan dan mampu untuk kembali digeruni. Saya tidak pernah rasa curiga bahawa hanya masa yang akan menentukan LFC akan kembali menguasai liga Inggeris ini dan kembali menjadi kuasa bolasepak Eropah yang digeruni seperti dahulu. Saya merayu pada semua penyokong untuk terus beri sokongan dan jangan sesekali hilang keyakinan pada pasukan kesayangan kita. 

 Kita Jumpa di musim 2012/2013 nanti dan mewakili seluruh warga kerja Liverbird Southern; kami menjemput anda semua kembali menghangatkan suasana di Clubhouse Southern.

Fly High Liverbird & YNWA..


Ketua Penyelaras Southern;
Mohd Muzafar Mustapha
Shankly List – Apai
Stronger, Closer & Always Stick Together

4 comments:

  1. well said abg apai......

    ReplyDelete
  2. pendapat yang bernas,moga lfc kembali menjadi pasukan yang digeruni,ynwa.......

    ReplyDelete
  3. Review terbaik dari Bro Shankly List! Semuga kita menempuh season hadapan dengan lebih cemerlang..Liverbird Fly High! YNWA

    ReplyDelete
  4. TQ atas info2 2 bang apai....Fakta yg boleh diterima akal.....

    ReplyDelete