Tuesday 14 August 2012

Liverpool FC vs FC Gomel; Review


Kita lupakan siri perlawanan persahabatan pra musim yang berlangsung di USA. Kita lupakan corak permainan yang agak mengerikan sepanjang jelajah mereka itu. Kita cuba buka buku baru untuk perlawanan yang lebih kompetitif; bermula dari perlawanan pertama pusingan kelayakan Europa League.

Saya tak mampu untuk membuat sebarang ulasan kerana walaupun saya berpeluang menonton perlawanan tersebut menngunakan streaming tetapi saya rasakan kurang adil jika saya buat ulasan berpandukan dari pergerakan yang terhenti-henti (line slow) dan siaran yang sering terganggu dengan iklan yang pop-up secara tiba-tiba. Tentu ada yang bertanya.. “apa hal pulak brader ni boleh tunggu iklan kat streaming?”. Jangan bimbang, saya tak marah dengan pertanyaan tersebut sebab memang saya jenis rabun-rabun ayam IT. Mungkin tidak buta IT tapi agak rabun-rabun. Jadi, apa link yang disarankan oleh rakan.. saya kan ikut. Jika keluar iklan.. saya tunggu sampai habis sebab takut nanti tak dapat balik link tu. OK.. cukup ketawakan saya. Kita terus pergi ke perlawanan kedua pusingan kelayakan Europa League.

Saya yakin ramai yang tersenyum sebaik sahaja wisel penamat perlawanan tersebut ditiupkan. Secara keseluruhannya Liverpool FC (LFC) menunjukkan corak permainan yang sangat baik. Penguasaan bola yang ternyata lebih memberangsangkan berbanding perlawan pertama di Belarus. Begitu juga dengan hantaran yang jauh lebih sempurna, pressing game yang terbukti berkesan dan yang paling nyata bahagian tengah berfungsi seperti yang kita harapkan. Mungkin segalanya tampak baik kerana pihak lawan yang mungkin tidak sama standard dengan LFC tetapi rasanya ianya mampu menjadi garis panduan bagi Brendan Rodgers (BR) untuk memperbaiki mana yang patut.

Satu lagi perbezaan yang nyata pada perlawanan kedua ini adalah; kehadiran Luis Suarez. Saya tidak gemar menggunakan istilah ini dalam penulisan saya tetapi kali ini saya terpaksa akui bahawa Suarez membuktikan istilah “matchwinner” memang wujud dalam dunia bolasepak. Mengapa saya tidak anggap Messi sebagai matchwinner Barcelona? Bezanya, Messi dikelilingi oleh pemain midfield yang boleh dikategorikan sebagai yang terbaik di dunia. Tugasnya tidak seberat Suarez di LFC. Suarez perlu berada di hampir seluruh padang bagi mengumpan pemain pertahanan keluar dari benteng. Sehingga pada suatu ketika kita menganggap ada 3 Suarez dalam perlawanan tersebut. Watak Suarez ternyata memudahkan pemain tengah untuk menyalurkan bola kerana tekanan untuk midfield berjaya dikurangkan.

Kehadiran Fabio Borini pula menambahkan perisa pada barisan serangan. Saya kagum melihat Borini yang tidak canggung beraksi bersama Suarez dan berjaya menyerap tekanan bermain dihadapan The Kops di laman Anfield. Bukan mudah untuk seseorang pemain beraksi sebegitu pada aksi mereka yang pertama dan BR patut merasa gembira kerana Borini berjaya melepasi ujian pertamanya. Mungkin situasi inilah yang menghantui fikiran Carroll kerana masih gagal memenangi hati penyokong secara keseluruhannya walaupun sudah masuk musim ketiga. 

Selain Suarez, kita tidak patut melupakan watak Lucas. Kehadirannya secara tidak langsung membantu LFC mencatat keputusan yang baik ini. Dengan adanya Lucas kembali dalam pasukan, Gerrard kelihatan lebih bebas dalam melancarkan serangan. Tidak terikat untuk berada pada posisi yang static dan sekaligus membenarkan Gerrard menggunakan kepakarannya menghadikan tekanan yang berterusan kea rah pintu gol lawan. Lucas pula tampak tenang mengemudi barisan tengah dan begitu enjoy dengan peranan yang diamanahkan pada beliau. Apa yang sekarang menjadi perbincangan adalah; kelibat Jonjo, Spearing, Henderson, Adam dan yang terkini Joe Allen. Masing-masing menunggu giliran dan pada perlawanan kedua ini, Jonjo bertuah kerana disenaraikan. Secara dasarnya, Jonjo tidak mengecewakan tetapi sering kehilangan bola dalam keadaan tertekan serta terjahan merbahaya yang bakal mendatangakan risiko pada pasukan keseluruhannya.

Pertahanan pula semakin cemerlang. Gandingan Agger dan Skrtel sentiasa dinantikan oleh penyokong LFC setiapkali perlawanan. Mantap dan Meyakinkan. Itulah yang saya terfikir untuk memberi definisi mereka berdua. Walaupun digegarkan dengan berita perpindahan ke Manshitty, Agger kelihatan tidak terganggu dan menikmati perlawanan tersebut sepenuhnya. Apa yang merisaukan, Enrique masih lagi bermain seperti di perlawanan persahabatan pra musim. Menyimpan bola terlalu lama, shielding yang longgar dan gagal melepaskan bola pada ketika yang tepat. Enrique perlu segera bangun dan kembali mempertahankan kedudukannya dalam kesebelasan utama.

Percaturan BR nampak menjadi dan pemain LFC berjaya mewujudkan sistem permain dimana bola tidak berhenti bergerak. Pergerakan bola dalam permainan amat penting. Bola yang terhenti terlalu lama mampu menjejaskan kelancaran serangan dan memberi ruang pada pihak lawan untuk menyusun benteng dengan lebih teratur. Sistem inilah yang patut diamalkan kerana kaedah inilah yang membawa LFC ke puncak pada tahun 70an dan 80an. Perbezaannya adalah; dahulu system pass and move yang mana ianya memerlukan midfield bergerak seiring dengan penyerang. Namun, konsepnya tetap sama. Bola tidak seharusnya dibiar dalam keadaan statik terlalu lama.

Apa yang kita harapkan LFC mampu mengekalkan atau menambahbaik corak permainan mereka kerana jika kita melihat peningkatan pada pasukan LFC, kita tidak boleh menafikan bahawa pasukan lain juga sedang melakukan perkara yang sama. LFC perlu bersedia menghadapi kemungkinan ini.

Terima Kasih

Shankly List (Apai)

No comments:

Post a Comment