Monday 8 July 2013

SUAREZ MENGHAMPIRI PINTU KELUAR?


Sejak tirai musim 2012/2013 dilabuhkan, antara berita yang paling panas membabitkan pasukan Liverpool FC (LFC) adalah berkenaan Luis Suarez yang dilapurkan mahu meninggalkan Anfield. Terlalu banyak spekulasi ysng dihidangkan oleh media mengenai pasukan yang bakal membeli Suarez seperti Juventus, Real Madrid, Paris St Germain, Arsenal dan yang terbaru adalah Chelsea. Walaupun pasukan yang dikaitkan dengan Suarez ini dilihat agak pelik dan boleh dianggap mengarut tetapi yang paling logik adalah Real Madrid kerana telah terbukti sejak dahulu betapa rakusnya pasukan dari La Liga ini mengumpan pemain-pemain yang bernama besar untuk menyertai pasukan mereka ini.

Banyak perkara yang boleh diperkatakan tentang isu Suarez ini kerana pemain ini bukan sahaja berjaya memberi impak dalam padang dengan bakat besarnya malah dalam masa yang sama berjaya menarik perhatian dunia dengan sikapnya yang dianggap “unik” pada pandangan penyokong LFC tetapi ternyata  menjengkelkan pada yang mencemburui Suarez. Sebagai orang yang menulis artikel ini saya terhimpit dalam menilai siapa Suarez yang sebenarnya. Saya perlu jujur dalam menulis dan sebolehnya tidak dipengaruhi dengan rasa sayang mahupun benci pada sesuatu pasukan sehingga memberikan komentar yang boleh dianggap tidak adil.


Sebelum itu, saya ingin berkongsi petikan kata-kata dari Suarez semasa ditanya oleh pemberita tentang komitmennya dalam sesuatu perlawanan;

“I will give my soul every game.. I did every time on the pitch for Uruguay, Ajax and Liverpool… “

Secara jujur dan peribadi; saya memilih untuk menkategorikan sikap Luis Suarez sebagai complicated and excessively passionate  atau dalam bahasa melayunya rumit dan ghairah terlampau. Mungkin ada yang menganggap saya mengambil langkah selamat dengan berpendirian begitu tetapi inilah pendapat jujur saya mengenai Suarez.

Mari kita lihat apa yang sebenarnya berlaku..

SIAPAKAH LUIS SUAREZ?
Luis Suarez menyertai LFC pada January 2011 dengan tanda harga £22.8 juta dan diberi penghormatan untuk menyarung No 7 iaitu nombor yang sama digunakan oleh Lagenda LFC; Kenny Dalglish. Suarez menjaringkan gol sulungnya semasa melakukan penampilan pertamanya ketika menentang Stoke City dan selepas itu Suarez tidak pernah rasa penat mencetak gol sehingga mencatat 51 jaringan dalam 96 penampilan. Tidak dinafikan bahawa Suarez adalah pemain yang terhebat dalam skuad LFC malah dengan tidak bersandarkan jersi yang Suarez sarung dan tanpa rasa prejudis, saya berani mengatakan Suarez adalah pemain terbaik dalam BPL musim yang lalu  jika melihat pada jumlah jaringan, cara jaringan dan tahap kesukaran yang beliau tempuhi untuk melakukan jaringan tersebut. Dan, saya meletakkan Suarez di tempat ketiga terbaik dunia selepas Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

RENTETAN KES LUIS SUAREZ
Sejak Suarez menyertai LFC pada tahun 2011; beliau telah mencipta beberapa kes yang menjadikan beliau buruan media dengan cerita negatif. Antara perkara yang menjadikan Suarez terkenal di kalangan pemerhati bolasepak, media dan dibenci oleh penyokong pihak lawan adalah dakwaan mengatakan Suarez gemar menjatuhkan dirinya apabila diasak oleh pihak lawan (diving), meraikan gol dengan aksi provokasi di hadapan David Moyes, menunjukkan isyarat lucah pada penyokong Fulham dimana beliau dikenakan denda £20,000 dan penggantungan 8 perlawanan. Diikuti pula didakwa menghamburkan kata-kata berbau perkauman pada pemain Manchester United iaitu Patrice Evra dimana Suarez kenakan hukuman denda £40,000 dan penggantungan 8 perlawanan. Paling terbaru adalah menggigit tangan pemain pertahanan Chelsea iaitu Branislav Ivanovic yang menyaksikan Suarez dikenakan hukuman penggantungan 10 perlawanan.  

Sebelum datang ke LFC pula; Suarez dikenali dengan kes menggigit
Otman Bakkal dimana dia digantung 7 perlawanan dan tidak mungkin dunia bolasepak akan lupa kes menampan bola ketika Uruguay menentang Ghana dalam pentas Piala Dunia 2010.


 PUNCA SUAREZ TERLINTAS MAHU MENINGGALKAN LFC
Jika berpandukan pada kenyataan dan temuramah yang dilalui oleh Suarez dan lapuran media semenjak tirai BPL musim 2012/2013 ditutup; kita boleh merumuskan 3 punca utama Suarez terlintas mahu meninggalkan LFC:

01. Ketidakadilan media dalam menilai dirinya
Media UK dilihat tidak berlaku adil pada Suarez terutama dalam menilai bakat yang ada pada dirinya. Lapuran yang lebih banyak menyentuh tentang keburukan dari kebaikannya. Malah, media UK dilihat seperti jerung jika Suarez kebetulan mencipta kes baru.

Pendapat jujur saya: Memang ada kebenarannya dakwaan Suarez ini. Kadangkala liputan yang diberikan pada Suarez melebihi dari pemain yang lain jika melakukan kesalahan. Lebih teruk dari itu, ada dikalangan media yang telah menjatuhkan hukuman pada Suarez walaupun kes itu belum dibawa ke pihak FA. Lapuran sebegini setidaknya akan mempengaruhi pandangan pihak yang akan mengadili kes Suarez dan menambah lagi rasa benci dikalangan penyokong pihak lawan.

Tetapi jika dilihat dari sudut berbeza dan lebih jujur;
- mangsa kerakusan media; itulah tugas media. Melapur, menyampai dan dalam masa yang sama memasarkan produk mereka.
- kita melihat “keganasan” media kerana ianya melibatkan pemain pasukan kesayangan kita. Mungkin perkara yang sama juga berlaku pada pemain lain tetapi kita tidak ambil endah kerana tidak melibatkan LFC. Mengambil contoh; kes Joey Barton di QPR dan Balotelli di Manchester City juga dikatakan menjadi “santapan” media UK.
- lapuran sikap negatif melebihi dari bakatnya; ini bukan kes pertama Suarez. Beliau sepatutnya belajar dari kesilapannya. Suarez sepatutnya lebih bijak mengawal perasaan marahnya. Beliau perlu sentiasa ingat bahawa terlalu banyak mata yang memandang padanya.  
- kebencian dikalangan penyokong lawan; ini lumrah. Begitu juga layanan yang kita berikan pada John Terry (kes dengan Anton Ferdinand dan mengganggu hubungan Wayne Bridges), Ryan Giggs (berselingkuh dengan adik ipar sendiri), kes Rio Ferdinand (tidak pergi ke ujian air kencing), Wayne Rooney (melanggan pelacur) dan lain-lain lagi.

02. Layanan buruk dan pilihkasih pada pemain dari Amerika Selatan
Perkara ini diakui oleh beberapa pemain yang berasal dari benua Amerika Selatan. Mereka berpendapat bahawa media, penyokong dan malah FA sendiri ada mengamalkan pilih kasih dan tidak melindungi pemain dari benua tersebut. Sebagai penyokong dan pengikut bolasepak BPL, saya yakin bukan setakat saya sahaja yang Nampak perkara ini malah ramai dikalangan kita yang mengakui bahawa perkara ini sememangnya berlaku di UK. 

Tetapi jika dilihat dari sudut berbeza dan lebih jujur;
Jumlah pemain berasal dari benua Amerika Selatan yang pernah dan sedang beraksi di BPL bukan sedikit. Mereka bukan hanya datang sekadar memenuhkan senarai pemain tetapi ternyata memberi impak yang sangat besar pada sesebuah pasukan. Mungkin Suarez merasakan tekanan ini kerana liputan meluas yang diberikan padanya yang mungkin berpunca dari attitudenya sendiri. Masalah yang sama juga yang dialami oleh Carlos Tevez, Robinho dan Mascherano, Faustino Asprilla dan lain-lain lagi. Mengapa kita tidak mendengar rintihan yang sama dari Javier Hernandez (Chicharito), Maxi Rodriguez, Jared Borgetti, Juan Pablo Ángel, David Pizarro dan tidak termasuk pemain yang beraksi pada tahun 80an dan 90an seperti Osvaldo Ardiles, Steve Archibald, Ricardo Villa dan ramai lagi yang berjaya mengharungi kehidupan dengan baik di UK. Mungkin mereka juga rasakan tekanan ini tetapi mereka bijak mengatasinya dengan mengalih pandangan pihak yang terlibat dengan melihat sudut yang baik dari mereka.

03. Rasa malu pada keluarganya sendiri
 Suarez akui betapa dia rasa malu yang teramat sangat ketika menghadiri majlis anugerah rasmi PFA. Suarez mungkin boleh terima hakikat jika dia diejek ketika di stadium tetapi kejadian diejek dalam majlis rasmi seperi ini adalah satu penghinaan bagi Suarez. Kali pertama dia diejek dan namanya diperolokkan adalah ketika namanya disenaraikan dalam pasukan pilihan terbaik dan kali kedua adalah apabila namanya diumumkan sebagai pemain kedua terbaik tahunan musim 2012/2013 di belakang Gareth Bale. Lebih memalukan, majlis itu dihadiri oleh keluarganya sendiri. Sebagai suami dan ayah; maruahnya sangat tercabar dan mungkin tahap kesabaran Suarez sudah sampai ke penghujungnya.


Tetapi jika dilihat dari sudut berbeza dan lebih jujur;
Saya tidak nafikan; apa yang dihadapi oleh Suarez adalah satu penghinaan baginya. Tiada yang lebih memalukan apabila kita diejek di depan anakisteri sendiri dan tak mampu untuk berbuat apa-apa. Tetapi, Suarez harus sedar bahawa apa yang berlaku adalah hasil ciptaannya sendiri. Memang agak kasar bunyi kenyataan saya ini jika berdasarkan sokongan saya pada LFC tetapi itulah kenyataan yang harus ditelan oleh penyokong LFC jika kita lihat perkara ini dari sudut yang lebih luas dan lebih adil.

APA YANG AKAN BERLAKU PADA LFC JIKA SUAREZ TIADA
Positifnya; LFC adalah satu kelab yang sangat besar di UK malah antara yang terkenal di Eropah. Rekod kecemerlangan LFC tidak dapat disangkal oleh mana-mana pihak. Kehebatan LFC bukan setakat dipertuturkan tetapi juga diterjemahkan dengan deretan kejuaraan yang pernah dimenangi sejak penubuhannya.

LFC pernah mengharungi zaman gemilangnya pada tahun 70an, 80an dan awal 90an. Bukan satu kenyataan yang sombong atau tidak berpijak di bumi yang nyata tetapi ketika itu tiada pemain bernama Luis Suarez. Malah, ketika LFC memenangi hatrik pada 2001, Suarez juga tidak ada dalam senarai pemain. Begitu juga semasa menjuarai UEFA Champion League pada tahun 2005 di Istanbul dan memenangi Piala FA pada 2006.


Situasi yang sama semasa Torres mahu meninggalkan LFC untuk ke Chelsea. LFC memenangi piala yang dinyatakan diatas tanpa khidmat Torres. Kenyataan ini bukan bermaksud Suarez dan Torres tidak cukup hebat untuk LFC. Sumbangan mereka tetap diperlukan. Cuma saya hanya ingin menegaskan bahawa bolasepak adalah permainan 11 pemain di dalam padang, beberapa pemain gantian, pengurus, jurulatih dan beberapa krew yang berada di luar padang semasa perlawanan dijalankan. 1 atau 2 pemain tidak menjanjikan kejayaan atau kegagalan mutlak sesebuah pasukan bolasepak.

Bukan setakat Suarez, malah mana-mana pemain LFC juga yang mempunyai niat untuk meninggalkan LFC bebas untuk berbuat demikian. King Kenny juga pernah berkata: “Tiada Yang Lebih Besar Dari Kelab.. Termasuk Saya”. Jika seseorang yang membawa gelaran lagenda sepanjang zaman seperti King Kenny merasakan demikian; rasanya kita perlu didik diri kita sendiri untuk menerima konsep ini.

Negatifnya; Kelemahan LFC sejak 10 tahun kebelakangan ini adalah terlalu mengharap pada seseorang pemain. Mungkin tidak terlalu ketara tetapi itulah hakikat sebenarnya. Setiap posisi mempunyai nama yang sentiasa jadi sandaran; dari penjaga gol, pertahanan, tengah dan penyerang. LFC bernasib baik kerana setelah kehilangan Owen, kita dapat pemain seperti Luis Garcia. Kehilangan Garcia kita mendapat khidmat Torres dan tempat Torres pula diganti dengan Suarez.  Nasib terus memihak pada LFC kerana pemain yang dibeli mampu menjalankan tugas dengan baik.

Jika benar Suarez akan meninggalkan LFC, bermakna kita ada Sturridge, Coutinho dan Borrini. Perlu diingat; tugas Coutinho bukan box-to-box striker. Borrini pula masih longgar dan tumpul sementara Sturridge pula sering dilanda kecederaan. LFC tidak berada di kedudukan seperti kelab besar yang lain yang mampu kehilangan pemain bila-bila masa sahaja kerana senarai yang menunggu terbukti mampu menggalas tugas dengan baik dan jumlahnya juga ramai.

Apa yang patut dibimbangkan oleh penyokong LFC adalah; Sindrom Musim Kedua.

Kecemerlangan Coutinho dan Sturridge sepanjang musim pertama boleh dianggap luarbiasa. Mengambil contoh apa yang berlaku pada Oxlade Chamberlain, Adebayor, David Villa,
Nikica Jelavic dan beberapa pemain lain. Penampilan dalam musim kedua boleh dianggap merundum jika disbanding dengan musim pertama.  LFC tidak mampu untuk mempunyai masalah ini jika Suarez tidak ada dalam senarai pemain.

Membeli pemain lain untuk mengambil tempat Suarez juga boleh dikira sebagai penyelesaian. Namun sekali lagi, apa yang dibimbangkan adalah tempoh pemain itu untuk menyerap sistem permainan dan taktikal LFC sendiri. Tidak cukup dengan itu, LFC dilihat menghadapi kesukaran untuk mengumpan pemain berbakat dan bernama besar untuk menyarung jersi LFC kerana kegagalan untuk bermain di pentas Eropah, Liga Juara-Juara(UCL)terutamanya.

Jika LFC bersedia untuk lepaskan Suarez; maka Brendan Rodgers perlu memastikan tandaharga yang diletakkan di belakang Suarez mampu dijadikan umpan pemain berbakat besar untuk datang ke Anfield bagi menggantikan pentas UCL yang sering dijadikan alasan pemain bintang untuk terima atau menolak lamaran sesebuah pasukan.

APA YANG DIKEHENDAKI OLEH SUAREZ SEBENARNYA?
Pada pandangan dan penilaian jujur saya; apa yang berlaku sekarang bukan sekadar membabitkan antara Suarez dan LFC sahaja. Saya merasakan Suarez "mencuba nasib" dalam isu ini untuk melihat respon dari pihak LFC sendiri (kelab, peminat dan rakan sepasukan), media, dan Real Madrid. Suarez mengambil tempoh cuti 2 bulan ini untuk membuat keputusan yang akan menentukan masadepannya dalam dunia bolasepak. Misi Suarez ini dibantu pula dengan Piala Konfederasi yang mana Uruguay mendapat slot bertanding dan mendapat tempat keempat setelah kecundang pada Itali. 
Apa yang saya maksudkan dengan mencuba nasib?

Media:
Suarez dengan terbuka menghentam media UK dalam isu ini. Suarez ingin melihat respon mereka samada masih ada rasa simpati dalam jiwa media dengan keputusan yang akan diambil atau terus membelasahnya dengan lapuran dan berita yang dilihat bakal menjahanamkan karier Suarez di UK. Jika ini salah satu strategi Suarez; saya rasakan ini adalah satu kesilapan yang sangat besar. Media UK umpama jerung di lautan terbuka. Sangat sukar untuk menjumpai jerung yang jinak atau mampu didekati tanpa mendatangkan risiko pada kita. Jika Suarez berpendapat media UK ganas dan rakus; saya rasa Suarez akan terima layanan yang 3,4 kali lebih ganas dari media beroperasi di Sepanyol yang menjadikan La Liga medan mencari mangsa.

 
Liverpool FC:
Suarez dilihat masih mahu menyambung khidmatnya di LFC tetapi dia perlu pastikan sokongan yang akan diberikan padanya oleh semua pihak yang membabitkan LFC di tahap
yang mampu dia harapkan. Suarez sedar ini bukan kes pertamanya yang membabitkan salahlaku. Kes beliau membabitkan Evra telah "mengorbankan" pengurus paling popular dalam sejarah LFC iaitu King Kenny. Umum tahu, King Kenny diminta meletakkan jawatan bukan kerana pencapaian LFC pada tempoh bimbingannya. Ianya lebih berteumpu pada pendiriannya membela Suarez dalam kes yang dianggap taboo dalam dunia bolasepak iaitu isu perkauman. Pemilik LFC (FSG) tidak mampu dilabel sebagai pihak yang mempraktikkan sentimen perkauman samada secara langsung ataupun tidak. Hubungan BR dengan Suarez mungkin tidak serapat seperti yang dialami olehnya ketika bersama Dalglish. Suarez perlu pastikan sokongan untuknya berterusan terutama dari pengurus dan pemilik.

Real Madrid:
Respon yang diharapkan dari Real Madrid berdasarkan harga, gaji dan janji untuk kesebelasan utama. Suarez perlu pastikan Real Madrid bukan hanya perlukan khidmatnya hanya untuk menjadi tenaga sokongan. Piala Dunia hanya tinggal setahun. Pembabitan dalam kesebelasan utama sangat penting bagi Suarez lebih-lebih lagi dengan adanya pemain seperti Cavani, Forlan dan Ramirez dalam skuad Uruguay. Beliau tidak mahu nasib yang sama terjadi pada Owen berlaku padanya.

Pendapat saya sangat mudah; risiko terlalu tinggi jika sesebuah pasukan terus menyimpan pemain yang dilihat tidak mempunyai keinginan untuk terus bersama pasukan. Lihat sahaja apa yang berlaku pada Tottenham Hotspurs semasa berdegil untuk terus menyimpan Luca Modric, Machester City yang terus mahukan Tevez dan Manchester United sedikit masa dulu mahu Berbatov kekal di Old Trafford.

Jika harganya tepat dan sudah ada beberapa pemain yang dilihat mampu untuk mengisi kekosongan; langkah terbaik untuk LFC adalah melepaskan Luis Suarez.

Kenyataan yang pedih tetapi adil untuk kedua-dua pihak.

Terima Kasih


Shankly List (Apai)

1 comment:

  1. Sempat juga bro Apai aaa...semoga cepat sembuh bro. YNWA!

    ReplyDelete