Friday 21 September 2012



Kalau lah dapat dirakam muka semua yang hadir di Clubhouse pada live viewing Europa League semasa Liverpool FC (LFC) membenam Young Boys (YB) 3-5, tentu anda semua dapat lihat senyum mereka yang sampai ke telinga. Wisel penamat dah pun ditiup tapi masih ada yang duduk, baring dan tercegat depan skrin. Berbeza senarionya jika keputusan tidak memihak pada LFC, bantal dan kusyen menjadi mangsa “keganasan” mereka. Kadang-kadang perlawanan ada berbaki 10 minit lagi tapi dah berdiri di muka pintu melayan perasaan sambil menyedut nikotin dan mulut mengomel dan membebel samada marahkan pemain, pengadil mahupun pengurus. Tapi itulah yang seronok bila tengok beramai-ramai. Masing-masing ada gelagatnya tersendiri tapi hakikatnya mereka terus menyokong LFC walau dalam apa keadaan sekalipun. 

Saya memilih untuk tidak mengulas perlawanan antara LFC dan YB ini kerana saya yakin lebih ramai yang gembira dan tidak mengambil kesah dengan ulasan. Saya faham perasaan itu kerana inilah kemenangan yang besar pertama Brendan Rodgers (BR) sejak sepak mula musim ini. Terubat sedikit kekecewaan yang menggigit hati penyokong dalam tempoh sebulan kebelakangan ini. 

Bercakap tentang kekecewaan dan kegembiraan semasa menonton perlawanan LFC, bukan sahaja keputusan perlawanan mempengaruhi mood penyokong. Tidak kira samada yang berada di Clubhouse ataupun di mana sahaja. Antara masalah yang dihadapi oleh pengurus di zaman bolasepak moden adalah mereka berhadapan dengan penyokong yang semakin bijak dalam menilai perlawanan. Kemenangan memang diidamkan oleh setiap penyokong tetapi dalam masa yang sama mereka juga mampu menilai. Mengambil contoh apa yang berlaku antara Johor FC dan Lion XII semasa perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia dimana kedua-dua pasukan ini hanya perlu seri untuk melayakkan mereka ke suku akhir. Dan, itulah yang terjadi. Mereka berjaya mendapatkan keputusan seri. Logiknya, penyokong patut gembira dengan keputusan ini tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Penyokong mencemuh pemain sepanjang perlawanan dan ada yang bertindak keluar dari stadium. Malah dalam page rasmi Lion XII, ada penyokong minta supaya semua pemain disiasat oleh ACA (badan pencegah rasuah Singapura) dan melancarkan kempen supaya perlawanan seterusnya di Kota Singa itu diboikot. Ini membuktikan penyokong bukan setakat mahukan kemenangan tetapi mereka mahu dihiburkan. Penyokong bolasepak sekarang semakin berinformasi dan atas sebab itulah mereka menganggap corak permainan sebegitu dilihat seperti menghina tahap pemikiran mereka.. 

Persoalannya; perlukah pengurus mengikut kemahuan penyokong? Mengambil risiko mempamerkan permainan cantik tetapi akhirnya kalah. Mengamalkan formasi yang yang pengurus itu sendiri mahukan atau mengambil “khidmat nasihat” penyokong yang sekadar belajar ilmu bolasepak melalui internet dan Playstation? Apa pula kesannya pada pengurus tersebut jika benar penyokong mampu melancarkan kempen menjadikan sesebuah stadium itu seperti padang jarak padang tekukur kerana tidak mendengar pandangan mereka? Apapun keputusan yang diambil oleh seseorang pengurus itu pasti mendatangkan risiko dan hanya kebijaksaan seseorang pengurus itu mengimbangi kehendak penyokong, pemilik dan keupayaan pemain sendiri akan menjadi faktor survival mereka.

Saya tidak tahu apa usaha yang dilakukan oleh pihak atau grup lain dalam menangani masalah kepercayaan pada pengurus. Tetapi, saya rasa terpanggil untuk membantu ahli saya sendiri untuk lebih memahami apa yang BR sedang lakukan. Saya tidak mengatakan penyokong tidak boleh mengkritik BR. Beliau juga manusia dan sentiasa terbuka dan terdedah pada kelemahan. Apa yang saya mahu lakukan adalah membantu penyokong melihat apa yang “mungkin” BR fikirkan. Saya faham kekecewaan penyokong setiapkali LFC gagal menghulur keputusan yang mereka mahu. Antara sebab kekecewaan itu adalah mereka mempertikaikan taktikal yang ditentukan oleh BR. Terutamanya sistem 4-3-3 yang diamalkan oleh BR. 

Saya pernah menulis tentang isu ini tetapi mungkin sekadar dasar semasa saya menyentuh tentang persiapan pasukan sebelum musim bermula. Kali ini saya cuba untuk mengupas lebih detail tentang formasi. Mungkin ini dapat membantu penyokong secara amnyaa dan ahli ARM secara khasnya tentang apa yang cuba dilakukan oleh BR. Ini bukan kerana saya melindungi BR tetapi saya ingin sangat menghiasi penyokong dengan ilmu dan lebih nampak bersedia bila membuat komen dan menyatakan pendapat pada laman social. Bukannya memalukan diri sendiri dengan komen dan kritikan yang cetek dan dangkal. Saya hanya dapat membantu dan terpulang pada penyokong untuk menerimanya:

FORMASI 4-3-3

bek kanan — bek tengah — bek tengah — bek kiri
midfield kanan — midfield tengah — midfield kiri
forward kanan — forward tengah — forward kiri

Secara ilustrasinya 4-3-3 boleh dilihat sebagai satu formasi yang menetapkan 4 di bahagian pertahanan, 3 di bahagian tengah dan 3 di bahagian depan. Sistem ini memerlukan skil penguasaan bola yang sangat tinggi terutamanya bahagian midfield, ketepatan dalam menghantar bola, meminimumkan kesilapan terutama di bahagian tengah dan mereka perlu lebih agresif dalam situasi ball winning. Itulah senjata paling ampuh yang ada pada skuad Barcelona dan atas sebab itulah jika mereka melaksanakan sistem 4-3-3 nampak seperti mudah dan sentiasa berkesan.

Namun begitu, sistem yang cuba diamalkan oleh BR masih nampak longgar. Kelonggaran inilah yang banyak mendatangkan masalah untuk pertahanan. Midfield terlalu kerap hilang bola dan hantaran yang terlalu mudah untuk dibaca oleh pihak lawan dan sekaligus berjaya dipintas. 

Berbalik pada isu formasi. Sebenarnya sistem 4-3-3 yang ditetapkan oleh BR ini bersifat subjektif dan fleksible. Penetapan formasi ini adalah sekadar menjadi tanda dan guideline kepada pemain tentang peranan mereka. Tidak semestinya mereka perlu berada di posisi yang sama sepanjang perlawanan tetapi setidaknya ini menjadi kubu yang perlu setiap pemain pertahankan. Sepanjang perlawanan berlangsung formasi ini akan berubah secara berperingkat. Inilah punca permasalahannya. Kita dapat lihat perubahan yang ketara di bahagian tengah dan secara langsung mencipta ruang dan jurang di bahagian pertahanan. 

Selama ini LFC mengamalkan sistem warisan turun temurun dengan menyaksikan barisan pertahanan bergerak secara serentak dalam satu barisan. Tetapi dalam taktikal baru ini, jika kita perhatikan; semasa bola dalam penguasaan LFC, barisan pertahanan akan menguncup menjadi 2 dimana bek tengah berpecah menjadi bek kiri dan kanan, bek kiri dan kanan mara ke depan sebaris dengan midfield, manakala defensive midfield akan turun sedikit ke bawah sementara bahagian serangan kekal dengan formasi awal. Bermaksud; formasi LFC akan berubah bila menguasai bola menjadi 2-1-4-3. Formasi ini akan berubah kembali mengikut kesesuaian waktu.

bek tengah — bek tengah 
defensive midfield 
sayap kanan — midfield tengah —midfield tengah – sayap kiri
forward kanan — forward tengah — forward kiri

Kedudukan pertahanan akan berubah dengan drastik dalam sistem ini. Bek tengah akan mempunyai ruangan yang luas untuk dikawal. Sebab itulah dalam sistem ini Carragher dilihat seakan kurang berkemampuan untuk diserapkan secara regular. Kedua-dua Centre Back akan berada di sekitar tengah padang dan inilah yang sering memerangkap LFC. Kesilapan dari midfield sering mewujudkan ruang dan peluang untuk pihak lawan menembusi benteng yang terlalu tinggi di tengah. Terlalu kerap situasi ini berlaku dan asakan yang berterusan dari pihak lawan mengakibatkan benteng semakin longgar dan akhirnya pertahanan sering buat kesilapan mudah. Lihat sahaja apa yang berlaku pada perlawanan dengan Man City dan Arsenal. Pertahanan dirobek dengan mudah kerana kekeliruan yang ketara. Sistem baru yang masih belum mahir dipraktikkan ditambah dengan risiko zonal defending yang sudah lama menjadi musuh benteng pertahanan LFC. 

Dua pemain tengah dikerah menjalankan tugas yang penting iaitu menggabungkan daya ketahanan stamina dengan kebolehan teknik yang ada pada mereka melancar serangan dan bertahan dalam masa yang sama, melakukan pressing pada pihak lawan dan memastikan mereka sentiasa bersedia untuk menerima hantaran atau membuat collect ball dari rakan. Mereka perlu bijak menentukan bila saat untuk menyerang atau bertahan dan mampu menjadi tenaga tambahan dalam kotak (atau setidaknya di Top D), Disinilah kelemahan pada LFC yang sangat ketara kebelakangan ini. Pemain midfield LFC gagal mengawal perasaan dan terlebih semangat untuk menyerang. 4-3-3 adalah sistem yang memerlukan kesabaran. Berlegar di kawasan tengah dan menunggu saat yang sesuai untuk masuk ke kubu lawan. Perlu banyak bersabar sebelum melancarkan serangan kerana “musuh ketat” sistem ini adalah apabila kehilangan penguasaan bola dan counter attack.
Kaedah ini dipamerkan dengan cemerlang semasa Jonjo diturunkan semasa separuhmasa kedua dalam perlawanan di Europa League. Sentiasa bersedia membantu barisan serangan dan berada di Top D untuk buat susulan. Memang taktik ini memakan masa untuk dipraktikkan dengan baik tetapi saya yakin LFC mampu untuk melakukannya.

Menyentuh tentang watak 3 pemain forward. Sebenarnya sistem ini tidak memperuntukkan aliran yang tepat untuk barisan hadapan. Mereka bergerak mengikut kesesuaian masa dan ketika. Watak Suarez terlalu mudah untuk diduga. Tugasnya mengumpan pertahanan lawan dan paling penting boleh membuat saluran bagi Borini masuk ke kotak penalti dari posisi Centre Forward. Sungguh tipikal tetapi BR tiada pilihan selain menggunakan kelebihan yang ada pada Luis Suarez. Suarez memikul tanggungjawap yang besar dalam mengemudi serangan dan mencipta ruang pada Centre Forward. Jika dia berjaya memasuki kawasan bahaya dari tepi maka peluang Borini lebih cerah. Malangnya, tindakan Suarez ini dilihat sebagai satu usaha yang tamak dan pentingkan diri sendiri oleh segelintir penyokong LFC. Begitu juga dengan Sterling yang bermain mirip dengan Suarez. Kelebihan yang ada pada Sterling iaitu larian pantas dan kebolehan menngelecek digunakan sepenuhnya oleh BR. Dalam hal ini, Borini seharusnya lebih tajam setiapkali dapat peluang di hadapan gol kerana tugas yang sukar telah dilakukan oleh kedua pemain tepi ini.

Sistem ini perlukan ketepatan. Malangnya perkara itu belum dapat diamalkan dengan berkesan oleh pemain LFC sekarang. Memang nampak ada kemajuan terutama dalam perlawanan dengan YB di Europa League tetapi banyak bezanya pentas Europa dengan BPL. 

Kesimpulan yang mampu saya buat adalah; tidak mungkin BR akan menukar formasi dan apa yang patut dilakukan adalah memastikan pemain sentiasa bersedia dengan apa jua taktikal yang BR mahu terapkan pada pasukan. Tekanan dari penyokong yang kurang mengerti tentang hukum bolasepak tentu akan ada di mana-mana. Tidak terkecuali di Anfield. Itu yang menjadikan bolasepak satu sukan yang indah. Bukan setakat pengurus dan jurulatih yang sibuk merencana kejayaan pasukan namun penyokong juga ingin terlibat dalam hal ini walaupun ilmu tidaklah setinggi mana. Keghairahan mereka mengatasi segalanya.

Tak sabar nak merejam setan Ahad ini (23/09/2012)... SCAST!!

Shankly List (Apai)

No comments:

Post a Comment