Friday 21 September 2012



Pada perlawanan ini dilangsungkan secara langsung, saya berada di D’Stall CafĂ© kerana menghadiri Majlis Aidilfitri Liverbird Central. Selain merasakan diri kami masih keluarga Liverbird Malaysia, kunjungan kami ke sana adalah untuk membalas kesudian wakil Liverbird Central iaitu Muzili Aznor yang meluangkan masa untuk bersama Majlis yg sama anjuran All Reds Malaysia (ARM) di Johor Bahru 2 minggu sebelumnya. Walaupun tiba agak lewat dan majlis telah bermula kerana urusan kerja di JB selesai sekitar jam 6.00 petang, namun kami bersyukur kerana dapat juga membantu memeriahkan lagi suasana di majlis tersebut.

Perlawanan bermula pada 12.30 malam dan saya sekali lagi gagal untuk memberi tumpuan sepenuhnya pada perlawanan itu kerana sambil menonton perlawanan tersebut, saya mengambil peluang untuk berbual dengan rakan-rakan yang ada di Central dimana kami sangat jarang dapat bertemu. Akhirnya, saya berpeluang untuk menonton perlawanan ini secara ulangan dan baru dapat membuat sedikit penilaian peribadi mengikut tahap pengetahuan diri sendiri yang sememangnya tidaklah setinggi manapun. Memberi penilaian berdasarkan apa yg saya tahu dan berharap anda semua dapat menegur sekiranya apa yang saya tuliskan itu salah. Berikut adalah penilaian peribadi saya;

Setelah melalui minggu yang penuh emosi di Anfield kerana kempen keadilan untuk mangsa dan keluarga yang terlibat dalam Tragedi Hillsborough, penyokong dan pemain kembali memberi tumpuan pada saingan BPL. Kali ini mereka perlu menongkah perjalanan ke Stadium of Light untuk mengharungi perlawanan keempat menentang tuanrumah; Sunderland Association Football Club (SAFC).

Buruk sangat ke corak permainan Liverpool FC (LFC) dalam perlawanan ini sehingga saya dapat membaca beberapa post di grup facebook jiran yang dahulunya saya menjadi admin (bukan ARM); menghina LFC dan lebih sedihnya mencemuh tahap pemikiran penyokong LFC yang terus beri sokongan selepas apa yang dipersembahkan untuk 4 perlawanan? Jika dahulu saya sentiasa menjawap post yang sebegitu, kini saya tidak mampu untuk memberi apa-apa komen di situ kerana khuatir akan disalahertikan dan bimbang ada mata yang tidak berapa gemar melihat komen saya di situ. Jadi apa yang boleh saya lakukan adalah mengutarakan apa yang saya rasakan dalam ruangan saya sendiri. Kalau ada yang kata saya syok sendiri pun saya terima tapi setidaknya saya tak paksa mereka baca dan yang paling penting mereka SUDAH pun baca penulisan saya. Kalau tidak masakan “mereka” tahu apa yang saya tulis melainkan mereka meluangkan masa 10-15 minit untuk membaca.

Keseluruhannya; saya berpendapat mutu permainan LFC di tahap yang memuaskan terutamanya di separuhmasa kedua. Mengasak benteng pertahanan SAFC bertubi-tubi sehingga memaksa hampir semua pemain berkampung dalam kawasan sendiri. Rembatan Johnson yang terkena palang, percubaan Gerrard menyinggah di tiang serta percubaan Borini yang kedua-duanya diselamatkan oleh penjaga gol SAFC, Mignolet. Tidak termasuk percubaan yang tersasar dari Jonjo dan tandukan dari Skrtel. Kesilapan atau kelemahan yang nyata dilakukan oleh LFC adalah menunggu sehingga babak kedua untuk bertindak agresif sebegini.

Babak pertama menyaksikan LFC terkapai-kapai mencari punca. Sekali lagi LFC kelihatan bergelut terutamanya di bahagian tengah. Hantaran sering tersangkut, hilang penguasaan bola dan paling ketara sering membuat unforced error.

Jentera tengah melihat Gerrard diletakkan lebih deep dan Jonjo yang sering kelihatan melancarkan serangan dan berlegar di kawasan lawan. Mungkin Brendan Rodgers (BR) merasakan watak Jonjo sudah mula patut “dilebihkan” daripada biasa dan ternyata Jonjo tidak mengecewakan. Walaupun keputusan tidak menyebelahi LFC setidaknya BR patut rasa lega kerana Jonjo beraksi dengan baik dan dilihat sudah mampu diberi tugas yang lebih offensive. Jonjo sudah mula berani membuat percubaan dari luar kotak penalti dan itulah yang sebenarnya LFC perlukan saat ini. Barisan penyerang kelihatan hilang idea bila berada hampir dengan kotak penalti dan tindakan seperti Jonjo inilah yang bakal mengejutkan barisan pertahanan. Kekerapan Jonjo melakukan drive sebegini akan membuka mata pertahanan di masa akan datang. Ketiadaan box-to-box striker memerlukan pemain seperti Jonjo menarik perhatian dan mengumpan pertahanan untuk membuat close up setiapkali dia mendapat bola di Top D. Secara tidak langsung tindakan seperti Jonjo “membebaskan” sedikit kekangan pada penyerang seperti Suarez dan Borini.

Bercakap tentang Suarez, saya rasa terpanggil untuk membetulkan beberapa komen yang saya baca tentang beliau kebelakangan ini. Kurang tajam, tamak, terlebih berlakun dan sebagainya. Penyokong perlu tahu watak Suarez yang sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut. Buat sekelian kalinya saya mengulang ayat ini; Suarez bukan seorang penyerang. Wataknya yang sebenar adalah supporting striker atau lebih glamour dengan ungkapan feeder. Berbeza wataknya semasa di Ajax dahulu kerana tugas yang sedang dilakukan oleh Suarez sekarang di LFC digalas dengan jayanya oleh pemain seperti Leonardo, Javier Martina, Rommedahl dan Dario Cvitanich. Begitu juga di Uruguay. Suarez kelihatan tamak atau dilihat seperti mengejar personal glory apabila membuat attempt menggelecek seberapa ramai pemain pertahanan kerana TIADA sesiapa yang ada dalam kotak penalti untuk diharapkan. Sekali lagi saya tegaskan, KETIADAAN itulah yang ditinggalkan Carroll. Suarez bermain dengan bermula di tepi samada kanan ataupun kiri dengan kedudukan Borini di tengah. Mereka sering swap position mengikut kesesuaian waktu dan corak serangan yang dilancarkan. Fizikal Borini hanya boleh mengharapkan bola bawah dan tindakan Suarez menggelecek seberapa ramai adalah menunggu reinforcement dari jentera tengah. Sebab itulah kita dapat perhatikan Jonjo sering berada di Top D setiapkali serangan dibuat melalui tepi. Begitu juga dengan “lakonan” Suarez. Berapa kerap Suarez mampu melepasi pertahanan dan atas logik inilah Suarez perlu mencari alasan untuk dijatuhkan kerana dengan senario tendangan percumalah LFC dapat mengerah pemain yang mampu menjaringkan gol menggunakan tandukan seperti Skrtel, Agger atau Coates berada dalam kotak penalti.

Apa yang menyentap hati penyokong sebenarnya adalah gol SAFC. Gol ini seperti ingin mengatakan bahawa LFC masih dibawah sumpahan. Bukan sekali keadaan ini berlaku. Terlalu banyak kali. Mengasak dan melancarkan serangan bertubi ke arah gol lawan dan tiba-tiba pihak lawan mendapat gol dengan sekali melancarkan percubaan. Lebih memilukan, gerakan gol tersebut terlalu mudah. Jadi siapa yang perlu dipertanggungjawapkan dalam hal ini? Adakah Johnson yang kelihatan terlalu lembut menghalang pergerakan winger? Atau Skrtel yang gagal mengekang pergerakan Fletcher? Atau Reina sendiri yang sepatutnya mampu menguis bola hantaran mudah itu? Tidak pasti salah siapa tetapi kenyataannya barisan pertahanan dan Reina sendiri dikejutkan dari lamunan dengan serangan kilat tersebut. Bunyinya seperti kasar tetapi saya sangat mengharapkan Reina dapat direhatkan untuk satu atau dua perlawanan bagi mendatangkan sedikit tekanan untuk beliau kerana jelas Reina terlalu selesa dan tempoh beliau berada dalam Zon Selesa itu patut disingkatkan dengan memberi peluang pada penjaga gol lain turun beraksi. Lihat sahaja apa yang berlaku pada si Pencuri Donat di Old Toilet. Selepas direhatkan untuk beberapa perlawanan, form beliau kelihatan pulih dan bertambah baik (tak lah sebaik manapun..)

Disebalik kekecewaan pada awal pagi Isnin itu, saya masih mampu tersenyum kerana LFC mampu menarik nafas lega dengan apa yang dipamerkan oleh Raheem Sterling. Larian dan gerak badan pemain bertubuh kecil ini menghilangkan sedikit rasa sedih atas apa yang sedang kita semua hadapi sejak permulaan musim. Cemerlang dan aksinya menjanjikan sesuatu yang positif bakal berlaku di Anfield tidak lama lagi. Namun, dalam masa yang sama saya mengharapkan Raheen tidak diturunkan terlalu kerap. Saiznya menjadi musuh pada dirinya sendiri. Fizikal seperti Raheem dan kelajuan yang ada pada pemain ini bakal menempatkan beliau di pusat pemulihan kecederaan lebih awal kerana tiada seorang pemain pertahanan pun yang gembira bila diperlakukan seperti budak baru belajar bermain bola dengan aksi Raheem ini. Jika tidak mampu menghalang pergerakan pemain seperti Raheem ini, maka tackle sahaja lah pilihan yang ada pada pertahanan. Berbeza dengan pemain yang bertubuh lebih besar, peluang untuk cedera lebih serius sangat tinggi untuk Raheem. Lihat sahaja apa yang berlaku pada Theo Walcott dan Aaron Lennon.

Dengan apa yang berlaku di Stadium of Light dan kegagalan untuk mencatat keputusan menang selepas mengharungi perlawanan keempat; adakah ianya bakal menjejaskan kedudukan BR?

Saya rasa tidak. BR adalah seorang pengurus yang bagus. Cuma ideanya masih lagi belum dapat diterima secara keseluruhan oleh pemain LFC. Kelantangan BR tentang tiki-taka, 4-3-3 dan lain-lain lagi yang menjadikan dirinya kini terasa seperti dihimpit. Lebih-lebih lagi dengan kekosongan posisi penyerang hasil mainan birokrasi pihak yang dipertanggungjawapkan. Apa yang boleh saya andaikan bermain dalam kotak fikiran BR sekarang adalah; mengekalkan idea baru yang telah dikompangkan pada dunia atau kembali pada formasi lama sementara menunggu pemain dapat menerima ideanya secara total. Ego seorang pengurus terlalu tinggi tetapi saya secara peribadi masih lagi percaya BR mampu menggalas tanggungjawap itu dan mengembalikan LFC ke landasan yang sepatutnya.

Berbalik pada post di grup jiran yang mencemuh penyokong LFC yang masih “sudi” menggelarkan diri mereka penyokong LFC selepas sekadar berjaya memungut 2 mata dari 4 perlawanan; saya hanya mampu mengatakan tong yang kosong berbunyi lebih kuat bila diketuk berbanding tong yang padat dengan isi. Jika menyokong pasukan yang sering kalah atau gagal dikira tindakan yang bodoh; saya rasa individu yang menghantar post tersebut sudah boleh mengorak langkah memohon kerakyatan Sepanyol kerana bimbang sindrom bodoh tersebut berjangkit pada beliau kerana rata-rata rakyat Malaysia ini bodoh kerana masih menyokong pasukan Negara yang tidak jauh bezanya dengan LFC (jika dinilai pada keputusan).

Saya faham dengan frasa menghormati pendapat masing-masing tetapi mencemuh daya fikiran oranglain dengan sendirinya mengangkat tembok hormat itu sendiri pada individu tersebut. Minat dan daya fikiran adalah dua perkara yang berbeza. Sekiranya individu tersebut gagal untuk membezakannya, maka tidak jauh lah tahap pemikiran beliau dengan apa yang beliau katakana dalam post tersebut. Saya mohon maaf dengan admin grup tersebut (yang juga rakan baik saya) kerana tidak mampu untuk melaksanakan tugas menjawap semula tohmahan seumpama itu seperti yang saya lakukan dahulu. Namun saya percaya admin yang bertugas jauh lebih berpengetahuan dari individu yang menghantar post tersebut.

Jumpa lagi di perlawanan merejam Setan Merah.. SCAST & YNWA!!


Shankly List (Apai)

No comments:

Post a Comment