Friday 21 September 2012




Terlalu lama rasanya tak menulis di grup ni. Maklumlah, selepas sibuk menyambut Aidilfitri, kemudian disusuli pula dengan majlis Aidilfitri anjuran All Reds Malaysia (ARM), mengendalikan program kemasyarakatan di Sekolah Dato’ Jaafar, program bolasepak untuk ahli ARM juga telah bermula dan kini sibuk pula membantu ARM Cawangan Batu Pahat dalam mengendalikan Program Futsal dan Live Viewing Merejam Syaitan Merah yang akan diadakan pada 23hb September 2012 nanti.

Memang nak buat ulasan untuk setiap perlawanan Liverpool FC (LFC) tetapi saya sendiri gagal untuk mengikuti setiap perlawanan dalam keadaan tekun dan dapat membuat catitan. Semasa perlawanan
dengan Manchester City, saya terpaksa melayan wakil dari Kelab Penyokong Manchester City Johor kerana kami menjemput mereka untuk turutserta menonton bersama kami di Clubhouse. Manakala, semasa perlawanan dengan Arsenal pula, terlalu sibuk mengendalikan Majlis Aidilfitri di Kompleks Belia dan Sukan. Saya tidak mampu untuk duduk setempat dan menikmati keseluruhan perlawanan kerana dalam masa yang sama saya perlu memastikan semua berjalan dengan lancar.

Tetapi, jiwa saya meronta untuk menulis sesuatu. Kalau nak buat ulasan rasanya dah terlewat sangat. Jadi, saya memilih untuk menulis sedikit tentang isu peminjaman Andy Carroll kepada West Ham. Tetapi saya mohon maaf terlebih dahulu jika penulisan ini dilihat seperti berat sebelah. Saya hanya menzahirkan apa yang saya fikirkan dalam fikiran saya dan anda bebas untuk membangkang.

Andy Carroll yang dibeli dari Newcastle dengan harga £35 juta akhirnya dihantar ke West Ham atas status pinjaman walaupun Brendan Rodgers (BR) berkali-kali mengeluarkan kenyataan semasa pra-musim bahawa Carroll ada dalam perancangannya dalam menghadapi musim ini. Tindakan meminjamkan Carroll dilihat seperti satu langkah yang agak pelik. Penyokong yang sebelum ini mempertikaikan pembelian Carroll dan malah mengkritik mutu permainan Carroll juga terang-terangan meluahkan rasa terkejut mereka. Bagi diri saya secara peribadi berpendapat:

01. BR perlu mengotakan janji
Carroll dijanjikan terlibat dalam perancangannya. Bukan setakat perbualan antara pengurus dan pemain tetapi BR secara terang-terangan menyatakan hal ini dalam media dan dalam siri temuramah beliau semasa persediaan awal musim.
Tindakan BR ini boleh menimbulkan rasa tidak percaya samada di kalangan pemain sendiri mahupun penyokong yang terbukti mampu “mempengaruhi” masadepan seseorang pengurus di Anfield

02. Persembahan Carroll di Euro 2012 dan Siri Persahabatan
Selepas diberi kepercayaan dalam mengemudi bahagian serangan untuk pasukan England di pentas Euro 2012, Carroll ternyata tidak mengecewakan. Mungkin tidak setajam Ibrahamovich, Mario Gomez atau Fernando Torres tetapi dia mampu menemui gawang di saat yang diperlukan. Begitu juga dengan mutu permainannya sepanjang siri perlawanan persahabatan. Penyokong mula dapat melihat kebolehan yang ada pada Carroll. Ini membuktikan Carroll mampu menggalas tugas sebagai penjaring jika diberi peluang

03. Fizikal dan Kebolehan
Seperti yang saya nyatakan, Carroll mungkin tidak setajam penyerang lain yang bernama besar di Eropah tetapi kehadirannya amat diperlukan oleh LFC di saat ini. Fizikalnya yang sasa disertakan dengan ketinggiannya boleh dijadikan pilihan di barisan serangan. LFC tidak mampu untuk terus mengamalkan sistem ground ball. Serangan perlu dilancaarkan dari pelbagai bentuk. Sampai bila LFC boleh mengharapkan kebolehan dribble Luis Suarez? Kekerapan melancarkan serangan seumpama ini jugalah yang menjadikan corak permainan LFC mudah untuk diramal. Saiz Borrini dan Suarez tidak menyebelahi jika serangan dibuat secara overlapping. Begitu juga dengan peluang mendapatkan gol dari sepakan percuma dan tendangan sudut. Berapa kerap yang LFC mampu mengerah tenaga Skrtel, Agger atau Coates yang mempunyai kelebihan dari segi ketinggian?

04. Mangsa Keghairahan Formasi 4-3-3
Carroll mungkin menjadi mangsa dalam keagihan BR memperkenalkan formasi kesukaannya iaitu 4-3-3. Rasanya sudah berkali saya nyatakan hal ini tetapi sebelum ini ianya lebih pada andaian dan tanggapan liar. Kali ini BR mengesahkan tanggapan saya. Terlalu jelas betapa BR tidak mahu melibatkan Carroll dalam perancangannya. LFC masih belum bersedia untuk mengamalkan formasi ini secara total. Tidak salah untuk menukar formasi tetapi dalam masa yang sama BR sepatutnya lebih “versatile” dan kelibat Carroll amat diperlukan jika sesekali BR perlu menukar formasi dalam menghadapi lawan yang ternyata tidak sesuai untuk diterapkan sistem 4-3-3 ini. Lihat sahaja apa yg berlaku semasa perlawanan dengan Arsenal. Wenger mengamalkan close game. Langsung tidak beri peluang midfield untuk merencana serangan dengan selesa. Jika jentera tengah sudah diikat dengan begitu ketat, secara logiknya formasi perlu ditukar. Jika permainan memerlukan hantaran silang dari winger, disinilah dapat dilihat ketaranya jika tiada pemain seperti Carroll

05. Tidak Bersedia Dengan Pengganti
Jika pinjaman adalah jawapan untuk menyelesaikan ketumpulan Carroll; maka kita sebagai penyokong perlu akur. Ilmu bolasepak kita terlalu cetek jika dibandingkan dengan ilmu yang ada pada BR. Mungkin dia lebih arif dalam menilai pemain dan kita sebagai peminat kadangkala membuat andaian sambil disertakan dengan perasaan prejudis. Jika Rooney Shrek menjaringkan 100 gol semusim pun, kita tetap mengatakan Si Gemuk tu tidaklah sebagus mana. Kenyataan itu disebabkan kita ada rasa benci pada Setan Merah. Begitu jugalah keadaan dengan isu Carroll. Rasa minat menjejaskan penilaian sebenar KITA pada seseorang pemain. Kita itu termasuk juga saya. Jika benar keupayaan Carroll tidak menepati standard pasukan LFC dan patut dipinjamkan; tindakan BR patut disokong. Masalahnya, tempat yang bakal kosong itu tidak bersedia diisi oleh mana-mana pengganti. BR terperangkap dengan mainan birokrasi. Mungkin BR tak tahu apa makna peribahasa Bunyi Guruh Di Langit, Air Di Tempayan Jangan Dibuang. Tetapi itulah yang terjadi dalam hal ini. BR mengidam watak Clint Dempsey dan yakin dapat meletakkan bekas pemain Fulham ini di posisi yang seakan sama dengan Carroll. Malangnya, perkara ini tidak berlaku. Tidak tahu dimana silapnya tetapi kekosongan yang ditinggalkan oleh Carroll akhirnya tidak diganti.

Kini LFC nampak seperti menyesali tindakan meminjamkan Carroll. Bukan setakat kekesalan kerana kekosongan yang masih tidak diisi tetapi kekesalan yang lebih kepada jangka panjang. Carroll mengalami kecederaan ketika turun mewakili West Ham untuk kali pertama. Tentu ada yang bertanya; apa masalahnya? Bukannya Carroll bermain untuk LFC dan tiada kesan apapun dalam pasukan LFC. 
Permasalahannya timbul jika kecederaan itu bersifat serius. Antara kemungkinan yang boleh berlaku adalah:

01. Objektif pinjaman tidak tercapai. Bermaksud; Jika keceraan itu serius maka Carroll akan direhatkan untuk tempoh yang lama. Waktu permainan dan pendedahan sangat terhad


02. Proses pemulihan. Carroll bukan pemain West Ham dan kemungkinan proses pemulihan Carroll tidak seperti yang dia terima di Anfield tetap ada.


03. Risiko kecederaan berulang. Sekali lagi status Carroll sebagai pemain pinjaman mendatangkan risiko. Peluang untuk bermain dalam kesebelasan utama terbuka jika dia berada dalam pasukan seperti West Ham. Ini menggalakkan Carroll untuk memaksa dirinya cepat kembali turun beraksi.


04. Jika ini berlaku; Carroll bukan sahaja akan menjadi projek pinjaman yang membazir malah akan menjadi liability pada LFC kerana ternyata senario ini akan menjejaskan tanda harga beliau.


Kesimpulannya; saya lebih gemar jika Carroll dikekalkan dalam pasukan LFC. Jumlah perlawanan yang bakal LFC tempuhi terlalu banyak iaitu BPL, Capital One Cup, FA Cup dan Europa League. Masih ada ruang untuk Carroll turun beraksi dan jika tidak layak diturunkan dalam kesebelasan utama, Carroll masih boleh diletakkan di bangku simpanan. Saya harap BR akan kembali merenungkan keputusan beliau dan masih tidak terlewat untuk memanggil semula Carroll kerana saya yakin pasti ada klausa dalam perjanjian pinjaman mana-mana pemain tentang pengambilan semula.


Kita berjumpa dalam artikel akan datang, Terima Kasih


Shankly List (Apai)

No comments:

Post a Comment